REMBAU - Projek pembinaan Hospital Rembau telah siap
sebanyak 68 peratus sehingga kini.
Wakil Pegawai Pasukan Projek Khas Bangunan Ibu Pejabat
Jabatan Kerja Raya, Rohaya Abdul Mois berkata, berdasarkan jadual, projek
berkenaan harus mencapai peratus siap sebanyak 98 peratus berbanding 68
peratus.
Bagaimanapun menurutnya, kelewatan peratusan siap projek
berkenaan berlaku susulan mengalami masalah dari segi reka bentuk di peringkat
awal.
"Terdahulu pihak JKR telah mengambil tindakan
menamatkan perkhidmatan perunding sebelum ini dan kali ini pihak kontraktor
yang dilantik menunjukkan komitmen yang tinggi bagi mencapai sasaran siap
projek pada 29 Disember ini.
"Pihak kontraktor melalui taklimat akan berusaha
mencapai sekurang-kurangnya enam peratus pada setiap bulan bagi projek
pembinaan Hospital Rembau ini," katanya sempena Lawatan Kerja Pengerusi
Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamsulkahar
Mohd. Deli ke Hospital Rembau, di sini, tadi.
Turut hadir, Adun Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris;
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zainuddin Mohd Ali; Pegawai Daerah
Rembau, Amino Agos Suyub; Pengarah Operasi SEIE Engineering Sdn Bhd, Zafirul
Shahabudin.
Rohaya berkata, projek Hospital Rembau berkenaan dijangka
akan siap serta mula beroperasi pada pertengahan tahun hadapan.
Untuk rekod, projek pembangunan Hospital Rembau dengan
kapasiti 76 buah katil ini dibina di tanah berkeluasan 19.4 hektar yang terletak
di Chembong, Rembau dengan kos pembinaan berjumlah hampir RM97 juta.
Tambahan sebanyak RM12 juta bakal diusulkan.
Pembinaan projek ini dikendalikan Pasukan Projek Khas
(Bangunan) Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur.

Comments
Post a Comment