Penduduk gempar jumpa mayat terlungkup

KUALA PILAH - Penduduk di kampung Bukit Temensu gempar melihat mayat seorang lelaki terapung dan terlungkup di sungai di kampung berkenaan hari ini.

Kejadian difahamkan disedari penduduk sekitar jam 12.50 tengahari ketika melintasi sungai itu yang pada mulanya disangkakan sampah.
Penduduk telah menghubungi polis setelah melihat dengan jarak lebih dekat ia seorang mayat lelaki.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Haslah Bachok mengesahkan penemuan tersebut.
"Polis telah dimaklumkan penemuan mayat seorang lelaki belum dikenalpasti identiti di sungai berkenaan kira-kira jam 1.09 petang.
"Semasa dijumpai keadaan mayat dalam keadaan terlungkup di celah pokok buluh di tepi sungai.
"Mayat dalam keadaan membengkak dan kembung seluruh badan dan hampir mereput termasuk di bahagian muka," katanya.
Jelasnya, polis kini meneliti laporan polis berhubung orang hilang yang dilaporkan dalam tempoh dua minggu sekitar Kuala Pilah.
"Siasatan juga sedang giat dilaksanakan untuk mendapatkan butiran lanjut berkaitan simati dan bedah siasat akan dilakukan pada esok (hari ini) di bilik forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
"Dan sejurus bedah siasat selesai, laporan lengkap akan diberikan," katanya.

Dalam pada itu, Haslah menyatakan, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ketua Polis Balai Kuala Pilah, Asisten Superitendan (ASP) Rosli Shaari di talian 06-4811222 bagi memberi maklumat dan membantu siasatan polis.

Comments