Peniaga dakwa ditipu kontraktor

PORT DICKSON - Seorang peniaga atas talian mendakwa ditipu kontraktor yang membaik pulih dan mengubah suai rumah dua tingkatnya di Bandar Springhill, Lukut.
Norazah Mohamed Akhtar, 37, berkata, dalam kes ini dia menanggung kerugian lebih RM300,000.

Menurutnya, rumahnya pada Jun tahun lalu terbakar mengakibatkan tingkat atas kediaman itu musnah.
“Sekitar empat bulan selepas kebakaran, saya lantik kontraktor untuk baik pulih bahagian yang rosak akibat kebakaran.
“Selesai kerja-kerja berkenaan, saya meneruskan perkhidmatan kontraktor tersebut untuk ubahsuai rumah dan dia setuju untuk menyiapkan kerja tersebut pada Februari, namun gagal berbuat demikian.
“Dan saya bagi satu lagi tempoh baru iaitu rumah perlu siap sekurang-kurangnya seminggu sebelum puasa, tapi kontraktor masih gagal menyiapkannya,” katanya.
Norazah berkata, dia mengenali kontraktor tersebut melalui Facebook.
“Saya tengok Facebooknya memaparkan hasil kerjanya yang cantik dan ada komen positif pelanggannya. Kontraktor ini juga menetap di Port Dickson.
“Niat awal saya lantik dia jadi kontraktor untuk bantu sesama kaum, tapi tak sangka jadi macam ni,” katanya.
Apa yang lebih mengecewakan Norazah sebenarnya adalah hasil kerja ubah suai rumahnya.
“Tengok la, banyak permukaan dinding dan tiang rumah tak rata, dipercayai menggunakan bahan terpakai seperti pintu terpakai. Bocor pula dan struktur binaan tak sempurna.
“Binaan di penjuru rumah tak stabil, bawah besar atas kecil. Binaan lantai condong dan tak sekata, panel untuk memasang pagar kaca juga tak sempurna sehingga kaca tersebut tak dapat dipasang.
“Sebenarnya banyak lagi perkara yang tak memuaskan dan tak setimpal dengan bayaran, tapi saya akan bawa dan ceritakan semuanya di Tribunal Tuntutan Pengguna esok (hari ini),” katanya.
Norazah berkata, laporan polis dan aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah dibuatnya.
“Bersemuka untuk berbincang dengan kontraktor juga saya dah buat, tapi tak mencapai jalan penyelesaian,” katanya.
Tambahnya, sebelum ini dia telah menceritakan apa yang menimpanya itu di Facebook sehingga menjadi tular.
“Sekarang saya dalam proses bawa perkara ini kepada pihak berkuasa. Harapan saya masalah ini menemui jalan penyelesaian, kontraktor tampil bertanggungjawab sepenuhnya dan rumah ini siap diubah suai dengan selayaknya kos yang saya dah keluarkan serta beri pada kontraktor.

“Orang tengok memang nampak rumah saya besar, tapi besar pun tak berbaloi jika kita rasa tak selamat untuk tinggal di dalamnya kerana kerja pembinaan yang dilakukan tidak ikut spesifikasi sepatutnya,” katanya.

Comments