Perkukuh perpaduan dalam parti: Mohamad

REMBAU - Perpaduan dalaman parti perlu terus diperkukuhkan bagi menyakinkan pengundi.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tanpa perpaduan jitu yang ditunjukkan oleh setiap parti komponen BN, ia akan menyebabkan rakyat berasa ragu-ragu.

"Persefahaman dan perpaduan dalam parti itu perlu kerana sebelum kita keluar nak meyakinkan orang di luar, kita perlu tunjukkan kita mempunyai perpaduan yang kukuh.
"Orang luar jika nampak kita bergaduh, mereka tidak akan sokong kita," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan MIC Bahagian Rembau, di sini malam ini.
Hadir sama, Ketua MIC Bahagian Rembau yang juga Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, Datuk V S Mogan.
Mohamad yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, BN satu-satunya parti yang mampu memupuk perpaduan dalam kalangan semua kaum di negara ini, walaupun ia cuba dirobek dengan dakyah pembangkang yang bertujuan hanya untuk menang pilihan raya.
"Negara yang nak dibangunkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memerlukan keadaan di mana perpaduan itu kukuh. Kalau berlaku perpecahan kepada perpaduan, bagaimana pemimpin nak membangunkan negara," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad yang Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yakin Umno mampu mengekalkan kesemua 22 kerusi Dun pada PRU14.
"Yang berlawan itu parti bukan calon. Kita melawan Pakatan Harapan, janganlah kita bergaduh sesama sendiri. Sebab itu perlunya kita perlu bersatu padu.
"Kalau dia dipilih mewakili parti, kita kena sokong. Kalau MIC menang di Jeram Padang dan Port Dickson, kita dah dapat dua pertiga majoriti," katanya.
Sementara itu, Mogan dalam ucapan berkata, MIC pusat dalam tempoh dua bulan lepas berjaya mendaftarkan 25,000 anggota sebagai pemilih.

"Yang terbanyak sekali ialah Johor dengan jumlah ahli yang berjaya didaftarkan ialah seramai 5,000 orang dan di Negeri Sembilan 4,200 telah didaftarkan," katanya.- Bernama

Comments