PROFESOR DATO’ DR. MUSA AHMAD DILANTIK SEMULA SEBAGAI NAIB CANSELOR USIM

NILAI – Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad diberi kepercayaan oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi untuk terus menerajui kepimpinan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagaI Naib Canselor apabila dilantik semula ke jawatan tersebut untuk tempoh dua (2) tahun lagi.

Pelantikan baharu ini adalah bermula pada 16 Ogos 2017 hingga 15 Ogos 2019 (dua tahun) setelah tempoh lantikan semasa beliau selama tiga (3) tahun sebagai Naib Canselor USIM akan tamat pada 15 Ogos ini.

Menurut YB Menteri Pendidikan Tinggi, pelantikan ini adalah selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 12(1) Perlembagaan Universiti Sains Islam Malaysia dan mengucapkan tahniah kepada Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad atas pelantikan semula ini dan turut meletakkan harapan kepadanya agar dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada universiti.

Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam reaksinya menzahirkan rasa terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi atas pelantikan semula ini dan melihatnya sebagai satu bentuk pengiktirafan Kementerian kepadanya sebagai kepimpinannya sebagai Naib Canselor USIM.

“Pelantikan ini juga merupakan satu peluang untuk saya meneruskan kesinambungan segala perancangan yang telah kita buat terutamanya dalam menjayakan Pelan Strategik USIM 2016-2025. Selain itu, keutamaan lain yang turut menjadi fokus saya ialah memastikan projek pembangunan fizikal kampus seperti pembinaan kolej kediaman baharu dan hospital pengajar dapat direalisasikan”.

“Menjadi keutamaan juga adalah menjayakan gagasan besar Universi iaitu Kampus Barakah dan ini pastinya memerlukan kepada sinergi dan komitmen seluruh warga USIM untuk menjadi kenyataan. Selain itu adalah untuk memantapkan lagi struktur agenda integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi teras universiti ini” ujarnya.

Selama dalam tempoh tiga tahun sebagai Naib Canselor dari 2014 hingga 2017, beliau telah meletakkan hala tuju USIM yang lebih strategik dalam aspek akademik, pentabiran, sumber manusia, kewangan, pembangunan mahasiswa dan jalinan antarabangsa dengan pelbagai institusi. Beliau turut menekankan kepentingan membudayakan warga kampus yang sihat melalui program FIT USIM, kesukanan, riadah dan rekreasi.

Comments