GEMAS - Imej seorang lelaki yang menyamar sebagai
pelanggan sebuah kedai barangan kucing sebelum menyamun telefon bimbit dan
dompet pembantu kedai berkenaan di Dataran Satria, di sini, dalam kejadian
minggu lalu kini tular sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak
berkata, susulan insiden itu, mangsa berumur 23 tahun membuat laporan di Balai
Polis Gemas.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 1.20 petang Rabu
lalu, mangsa didatangi seorang pelanggan lelaki berumur lingkungan 30-an yang
seolah-olah berminat membeli sangkar kucing dengan bertanyakan harganya.
“Bagaimanapun, lelaki tersebut berubah fikiran dan masuk
ke kedai sebelum menyuruh mangsa membungkus makanan kucing. Suspek kemudian
memberitahu kepada mangsa duitnya tidak mencukupi dan bertanyakan lokasi bank
terdekat.
“Mangsa menunggu suspek yang tidak datang-datang bagi
mengambil serta menjelaskan barang belian sehingga hampir 40 minit dan
menyedari telefon bimbitnya telah lesap,” katanya di sini, semalam.
Hamazah berkata, mangsa segera menghubungi pengurusnya
dan membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mendapati lelaki
berkenaan turut mencuri dompet miliknya.
Susulan kejadian itu, katanya, mangsa kerugian kira-kira
RM1,000 membabitkan kehilangan telefon bimbit Samsung S7 Edge, wang tunai RM70
dan dokumen penting seperti kad pengenalan serta lesen memandu.
“Kita telah memperolehi rakaman CCTV dan akan dihantar ke
unit forensik Cheras untuk tujuan analisis serta pengecaman. Suspek berbadan
gempal, berambut pendek, perut buncit serta berkulit sawo matang.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan
kerana mencuri,” katanya.

Comments
Post a Comment