Pusat tahfiz perlu daftar jika mahu bantuan

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) diminta mempermudahkan urusan pendaftaran pusat tahfiz dan sekolah agama persendirian bagi membolehkan institusi berkenaan turut menerima bantuan kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masih terdapat pusat tahfiz dan sekolah agama persendirian di negeri ini belum mendaftar, sekali gus menyukarkan proses pemberian bantuan dibuat kepada mereka.
“Kita menggalakkan supaya pusat-pusat ini daftarlah segera, tambahan pula banyak bantuan baik daripada kerajaan negeri mahu pun kerajaan pusat dan baru-baru ini Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memberi peruntukan untuk diagih-agihkan di semua pusat tahfiz yang berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian bantuan perkapita dan dermasiswa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan 2017, di sini, hari ini.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Pengarah JHEAINS Datuk Selamat Paigo.
Pada majlis itu, 148 sekolah aliran agama di seluruh negeri ini menerima bantuan perkapita Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM1.3 juta.
Selain itu, 17 pelajar yang menerima pendidikan di Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan pula terpilih menerima bantuan dermasiswa membabitkan jumlah sebanyak RM 645,000. - Bernama


Comments