REMBAU – Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berjaya mengelak gangguan bekalan air di negeri ini sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan mengenal pasti kawasan yang kerap bermasalah setiap kali musim perayaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan hot spot tersebut sebelum ini mengalami masalah kerana tekanan air rendah ekoran pertambahan pengguna semasa hari raya.
“Kawasan berkenaan selalunya mengalami gangguan bekalan kerana raai yang pulang ke kampung sehingga menyebabkan tekanan air rendah.
“Dengan persiapan awal oleh pihak Sains telah dapat mengatasi masalah ini. Pihak jurutera muda Sains telah meneliti isu ini dan memasang injap yang mampu mengawal tekanan air dan memastikan tekanan air konsisten.
Advertisement
“Raya kali ini paling ‘aman’ bagi saya sebab tidak ada aduan gangguan bekalan air di negeri ini. Saya ucapkan tahniah kepada Sains kerana semua orang dapat bekalan air,” katanya semasa berucap dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Masjid Kampung Sega, Rantau di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Awaluddin Said, Exco-exco kerajaan negeri dan Pengarah Sains, Wan Rasdi Wan Ismail.
Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sega dengan kerjasama Sains itu dihadiri kira-kira 1,000 penduduk.
Mohamad yang merupakan Pengerusi Sains berkata, walaupun terdapat gangguan kecil di beberapa kawasan semasa hari raya, namun ia disebabkan masalah paip air bocor.
“Bagaimanapun, perkara itu dapat diatasi dengan segera iaitu dalam tempoh empat jam mengikut petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Sains bagi membaik pulih kerosakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sains yang menguruskan air di negeri ini juga perlu bersedia dengan cabaran pada masa akan datang berikutan kewujudan kawasan pembangunan ekonomi, Malaysia Vision Valley (MVV) yang akan mewujudkan banyak kawasan pembangunan dan penempatan baharu. - Utusan Online

Comments
Post a Comment