MUKADIMAH
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan
gemar berterus-terang. Ini sehinggakan suatu ketika beliau bercakap benar
kepada Perdana Menteri ada kerja di peringkat negeri belum dibereskannya
meskipun rakannya berseloroh - Mat Hasan ni tak nak ikut PM ke luar negara.
Menteri Besar Negeri Sembilan Berfikiran Jauh Bagi Menentukan Kepentingan Rakyat Sebagai Keutamaan |
Pertanyaan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL
kepada beliau mengenai situasi politik negara kebelakangan ini di Tingkat 5,
Blok B, Wisma Negeri, Seremban baru-baru ini dijawab dengan santai tetapi penuh
dengan pengertian bermakna.
Mingguan: Dengan pakatan pembangkang agak berkecamuk dan
perancangan ekonomi kerajaan nampak tersusun, adakah harapan untuk Barisan
Nasional (BN) meraih kembali majoriti dua pertiga?
MOHAMAD: Ada peluang jika pengagihan kerusi dalam
kalangan parti-parti komponen dilihat semula. Konsensus perlu dilihat balik.
Kita kena duduk semula tengok geopolitik dan demografi pengundi. Sekarang,
orang pergi mengundi tidak berdasarkan parti, tapi ikut sentimen dan emosi.
Kalau sudah satu-satu tempat tradisinya orang tak boleh terima sesebuah parti
komponen sebagai calon, kita kena ubah cara pemilihan calon. Ada kerusi kalau
kita bagi calon BN tertentu, kita boleh menang.
Adakah taktik ini yang digunapakai DAP?
MOHAMAD: Ya, DAP menggunakan taktik dan strategi yang
amat halus dalam pilihan raya. Kita kadang-kadang menjangkakan kerusi yang
mempunyai majoriti pengundi Melayu dicampur pengundi India boleh menang.
Padahal dari segi realiti DAP mempunyai strategi itu yang kita kena baca. DAP
tahu majoriti pengundi Cina bersamanya.
Mana-mana kerusi majoriti Melayu dan India lebih 50
peratus atau 60 peratus, DAP takkan letak calon Cina. Dia lebih rela letak
calon India. Ini kerana DAP tahu dia akan dapat solid Cina dan pecahkan
majoriti itu dengan memperoleh 30 peratus India untuk menang. Dia tahu Melayu
susah nak undi DAP.
Maknanya DAP buat kajian sebelum masuk gelanggang?
MOHAMAD: Di Nilai, DAP tak letak calon Cina padahal DAP
tidaklah suka sangat calon India tapi kena juga letak India kerana di Nilai
pengundinya majoriti Melayu campur India. Macam di Tampin dan Repah, majoriti
Melayu campur India sudah majoriti, maka DAP letak calon India dan menang.
Di Senawang begitu juga, DAP guna kaedah ini sebab apabila
Melayu campur India hanya minoriti dengan majoriti Cina 90 peratus, maka cuma
sokongan 30 peratus lagi pengundi India, DAP menang. Jadi, inilah strategi yang
perlu BN lihat dan adaptasi bahawa BN tak boleh lagi terikat dengan cara
pembahagian dan pemikiran lama menghadapi pilihan raya umum yang semakin
kompleks.
Tak macam dulu, kini lebih rumit dari segi pengundi
mempunyai maklumat yang banyak dan pemikiran berlainan. Yang senang main
sentimen. Betul atau tidak, pengundi tak kisah.
Bagaimana BN nak kekang sentimen atau persepsi ini dengan
cepat. Persepsi ini walaupun ada pakar menanganinya, cara guna fakta pun kena
bijaksana, bukankah begitu?
MOHAMAD: Orang yang bercerita (berkempen) kena pandailah.
Tak boleh lanyak sahaja, kalau tidak orang akan kelam-kabut. Mesti bagi pada
orang yang ahlinya. Kalau bagi yang bukan ahli, sudahnya rakyat lagi keliru.
Ada pihak menguar-uarkan BN ada peluang cerah untuk
menang jika persaingan tiga penjuru, betulkah tanggapan ini?
MOHAMAD: Tak semestinya. Saya rasakan ada tempat yang
lebih baik BN bertanding dua penjuru sahaja. Saya tak nampak banyak
signifikannya tapi kalau di Negeri Sembilan, saya lebih nampak dua penjuru.
Tapi di Kedah, Terengganu dan Kelantan, kerana satu-satu kaum itu majoriti, itu
lainlah. Di Negeri Sembilan, kalau tiga penjuru, kita susah juga sebab orang
Melayu ada pilihan. Undi berpecah. Kalau UMNO disaingi Pas dan PKR, susah juga.
Dari segi senario politik nasional, apa yang dibuat Tun
Dr. Mahathir Mohamad ada impakkah pada BN?
MOHAMAD: Dr. Mahathir sama ada mempunyai impak atau
tidak, Wallahualam. Cuma sejak dia bekerjasama dengan DAP, orang Melayu tak
boleh terima. Saya hormat Tun Mahathir sebagai pemimpin dan negarawan lama,
tapi hasrat untuk memusnah dan menghancurkan UMNO serta menumbangkan kerajaan
UMNO, itu saya tak boleh terima.
Dia tak boleh terima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak, dia benci Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu hal dia.
Tapi janganlah sampai bersekongkol dengan DAP yang memang jelas musuh UMNO,
musuh orang Melayu. Dia buat cara dia untuk jatuhkan Najib itu hak dia tapi
untuk jatuhkan perjuangan Melayu bagi digantikan dengan sebuah parti yang kita
tahu cauvinis, tidak bersimpati dengan Melayu, ini tak boleh diterima.
Seakan-akan nampak DAP mempergunakan Dr. Mahathir?
MOHAMAD: Saya kasihan dan simpati pada beliau yang nampak
teraba-raba untuk dapatkan sokongan sehinggakan membelakangkan falsafahnya. Itu
satu perkara yang amat mendukacitakan. Saya fikir Dr. Mahathir dah terlajak
dari segi perjuangannya. Betul dia sayangkan negara ini dan bangunkan negara
ini. Untuk kita putus dan noktahkan negara ini ditadbirkan oleh satu perjuangan
yang diasaskan dahulu, itu suatu perkara mendukacitakan. Dia nak menoktahkan
pentadbiran Melayu dengan menghancurkan UMNO.
Ini pentadbiran Melayulah. BN sebenarnya UMNO dan UMNO
itu Melayu. Dan apatah lagi bekerjasama dengan orang yang benar-benar asas
partinya (DAP) ini pun tidak memperakukan hak istimewa orang Melayu menerusi
konsep Malaysian Malaysia. DAP adalah anak didik PAP yang sebelum Singapura
meninggalkan Malaysia, ideologinya ditinggalkan kepada DAP. Macam mana Dr.
Mahathir begitu terdesak sangat, saya sendiri tak faham.
Datuk Seri fikir 1MDB akan jadi bahan kempen dalam PRU
kali ini?
MOHAMAD: Di Negeri Sembilan, tak ada apa-apa pun. Tak ada
kena mengena isu 1MDB ini di Negeri Sembilan. Yang dia tahu apa pasal minyak
masak naik harga. Dia nak buka gerai, dapat buka gerai gembiralah. Tak ada isu
1MDB di kawasan luar dari bandar. Hal 1MDB ini isu dalam kalangan bijak pandai
sahajalah.
Adakah orang Melayu masih bergantung pada UMNO?
MOHAMAD: Bukan orang Melayu masih bergantung pada UMNO.
Nanti orang Melayu marah dengan telahan itu. Hakikatnya orang Melayu masih
sokong UMNO. Orang Melayu tak bergantung pada UMNO tetapi UMNO lah yang
bergantung pada mereka. Sekarang UMNO bergantung pada sokongan Melayu. Dalam
dua, tiga pilihan raya umum dan sejak dahuu lagi, UMNO menang disebabkan
sokongan Melayu. Jadi, UMNO kena jaga hati orang Melayu. Jangan lupa orang
Melayu. Agensi-agensi kerajaan kena jaga hati orang Melayu.
Jangan lukakan hati
mereka. Bahkan saya pernah katakan, jangan kita untung secupak, ruginya
berguni-guni.
Harga minyak masak kelapa sawit orang kampung yang banyak
pakai dan peniaga Melayu yang banyak guna. Orang pekan (bandar) mungkin banyak
pakai minyak Mazola, jagung dan zaitun. Jadi, mengapa kita perlu ambil hak
mereka (dengan naikkan harga minyak masak). Apakah kerana nak jimatkan RM1
bilion setahun, kita sanggup rugi dengan gadaikan penyokong tegar kita. Orang
di kampung tak tanya pasal 1MDB. Bila saya turun jumpa mereka, soalan ditanya
apa pasal minyak masak naik, saya nak jawab apa?
Tapi saya tak dengar pula pasal 1MDB, berapa banyak rugi.
Yang ditanya apa pasal minyak masak mahal? Apa pasal Datuk, kami nak buka gerai
tak dapat. Tak bolehkah saya niaga sebulan nak cari rezeki dalam bulan puasa
ini. Maka saya kata berniagalah. Orang Melayu perlukan dukungan dan sokongan
kerajaan sebab Melayu sokong UMNO dan UMNO mesti dukung Melayu. Jangan kita
asyik cakap kita nak kurangkan defisit itu ini. Orang takkan faham. Ada
sebilangan menteri barangkali tak menoreh, tak ada apa benda dibuat pun.
Bila
mula bercakap orang dah tidak berapa suka.
SUMBER : UTUSAN ONLINE
Comments
Post a Comment