Satu kilogram sudah cukup

KUALA PILAH - Wajib turun berat badan satu kilogram setiap minggu. Itu syarat ditetapkan kepada peserta yang menyertai program Pengurusan Berat Badan (PBB), di sini.

Program anjuran Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) Dangi itu bagi membendung penggunaan ubat terlarang seperti ubat kurus yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
Pengerusi Kospen Dangi, Norhayati Abdullah berkata, PBB bertujuan menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat tanpa menggunakan bantuan ubat yang adakala memberi kesan negatif kepada badan.
“Program ini lebih menekankan penurunan berat badan yang diberi tempoh selama enam bulan. Peserta yang menyertai program ini perlu memiliki daya ketahanan mental dan fizikal yang kuat supaya tak mudah putus asa.
“Berkonsepkan ‘10 on 10’ selama 10 minggu, di mana setiap seminggu, peserta wajib menurunkan berat badan sebanyak satu kilogram.
“Mereka perlu menyertai program serta aktiviti yang disediakan PBB dan mengambil inisiatif bersenam di rumah ataupun di mana saja,” katanya ketika ditemui pada program pendaftaran PBB di Balairaya Rumah Rakyat Dangi, di sini.
Selain aktiviti senaman, Norhayati berkata, peserta juga akan mengikuti ceramah berkaitan maklumat pemakanan sihat yang disampaikan pegawai pemakanan kesihatan pada 25 Julai ini.
“Penganjuran ini menggalakkan peserta dan orang ramai mengamalkan pemakanan sihat agar matlamat serta objektif program ini terlaksana.
Komuniti melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum menyertai PBB.
“Tiada istilah ‘hangat-hangat tahi ayam’, sebaliknya perlu komited untuk mendapatkan berat badan yang ideal,” katanya.
Dalam pada itu, Norhayati berkata, penyertaan amat menggalakkan dan kini lebih 10 peserta berani menyahut cabaran ini.
“Semasa menyambut Aidilfitri, pastinya kita dijamu dengan pelbagai hidangan yang menyelerakan.
“Jika peserta menyertai cabaran ini, mereka mampu kawal cara pemakanan dengan pemakanan seimbang, sekali gus mencegah dari diserang penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi dan jantung,” katanya.

Selain itu, katanya, objektif utama Kospen ialah menggalakkan gaya hidup sihat seiring dengan peningkatan potensi diri. - Sinar Online

Comments