SEREMBAN - Perancangan untuk melaksanakan pendekatan
sekolah satu sesi di seluruh negara tetap akan diteruskan.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon berkata,
pihaknya bagaimanapun sedang meneliti perancangan pelaksanaan tersebut bagi
memastikan semua sekolah terlibat mempunyai kelas mencukupi.
Beliau berkata, selain tambahan kelas pihaknya juga
sedang meneliti keperluan untuk membina sekolah baharu di kawasan memerlukan.
“Kalau boleh, kita mahu adakan sekolah satu sesi sahaja
kerana sekolah dua sesi ini adalah sangat tidak kondusif kepada anak-anak
terutama mereka yang pergi sekolah pada sesi petang.
“Kita akan siapkan kelas dan sekolah yang mencukupi bagi
membolehkan konsep satu sesi dilaksanakan di seluruh negara.
“Dengan pelaksanaan sekolah satu sesi ini, lebih banyak
aktiviti dan kokurikulum tambahan dapat dijalankan dengan lebih efektif selain
memastikan anak-anak gembira datang ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Talk
Kopitiam di Kampung Baru Labu Batu 8 di sini, semalam.
Sementara itu, Sin Woon berkata, kementerian juga sedang
berusaha untuk mengurangkan bebanan murid dengan tidak membekalkan kerja
sekolah di rumah yang banyak.
Menurutnya, pihaknya ada menerima aduan daripada ibu bapa
yang tidak selesa dengan segelintir guru membekalkan kerja sekolah untuk dibuat
di rumah dengan jumlah terlalu banyak sehingga membebankan anak-anak.
Sebab itu, katanya, sistem pendidikan baharu yang akan
dirombak itu lebih tertumpu kepada penggunaan pendekatan Penaksiran Psikometri,
Ujian Penaksiran Sekolah, serta Penaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan
Kokurikulum (PAJSK) bagi menguji tahap kebijaksanaan murid-murid secara
menyeluruh.
“Ibu bapa perlu menyokong dan sedia menerima perubahan
dalam sistem pendidikan di negara ini agar kita dapat melahirkan murid yang
benar-benar bijaksana dalam segenap sudut.
“Kalau dulu sistem pendidikan kita berorientasikan
peperiksaan tetapi kini kita akan lebih kepada konsep Kemahiran Berfikir Aras
Tinggi (KBAT).
"KBAT ini lebih melihatkan sisi perspektif
pembangunan sahsiah murid agar mereka lebih kreatif serta berinovatif,”
katanya. – Sinar Online

Comments
Post a Comment