Semangat juang jentera Jang hampakan Tok Gajah

SEMANGAT juang tinggi dipamerkan kesebelasan utama Negeri Sembilan menjadi faktor utama kemenangan 2-1 skuad itu ketika menentang Pahang saingan Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.

Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Mohd Asri Ninggal berkata, menentang Tok Gajah bukanlah perkara mudah, namun semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan anak buahnya berjaya memastikan skuad Hobin Jang Hobin meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
“Walaupun kita bermain dengan dua pemain import dan selebihnya tempatan, tetapi  pemain  sudah menunjukkan satu semangat juang yang begitu tinggi kerana kita tahu Pahang bukan pasukan yang mudah.
“Mereka menurunkan kesebelasan utama mereka dengan empat pemain import tetapi kami hanya bermain dengan dua pemain import, tetapi pemain kita sanggup bermain mati-matian dan mempunyai semangat juang yang tinggi,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Dua gol tuan rumah diperoleh minit ke-10 dan ke-35 masing-masing menerusi Farderin Kadir dan Khairul Anwar Shahrudin manakala gol Tok Gajah dijaringkan penyerang import dari Korea Selatan, Jaewon Heo minit ke-87.
Mohd Asri berkata, gol pembukaan dijaringkan Farderin membakar semangat pemain untuk memburu kemenangan.

“Dalam bola sepak apabila kita sudah dapat jaringan awal, sudah tentu kita akan begitu bersemangat tetapi kedua-dua jaringan malam ini (kelmarin) jaringan yang cantik,” katanya. - Bernama

Comments