Serpiah harap kakinya kembali mengecil

SEREMBAN – Menjadi harapan seorang wanita warga emas supaya kaki kirinya yang membesar sejak lebih setahun lalu dapat kembali pulih seperti sedia kala supaya impiannya untuk menunaikan umrah tercapai.

Serpiah menunjukkan keadaan kakinya ketika
kunjungan Zulkifli (tiga dari kanan).
Turut kelihatan Abdul Ghani (kanan).
Menurut Serpiah Saad, 70, disebabkan keadaan kakinya itu dia sukar untuk bergerak dan tidak boleh berdiri lama.
“Berubat moden dan cara kampung, semuanya saya dah buat sehinggakan duit simpanan untuk pergi ke Makkah habis digunakan. Tapi keadaan kaki sebelah kiri tetap begini.
 “Kaki saya tak sakit, tapi beratlah nak membawanya yang membataskan pergerakan. Sekarang ini saya dah habis ikhtiar,  harap keadaan kaki ini boleh kembali normal sebab saya nak sangat pergi Makkah,” katanya.
Dia yang sudah kematian suami sejak lapan tahun lalu akibat kemalangan, mengalami masalah itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pembedahan kanser rahim yang dilakukan di sebuah hospital 10 tahun lalu.
Kata Serpiah, perkara itu dimaklumkan oleh pihak hospital ketika dia mendapatkan rawatan susulan disebabkan keadaan kakinya yang membengkak selepas sebulan dibedah.
“Pada mulanya hanya bahagian bawah kaki yang bengkak, tapi sejak setahun lalu ia makin membesar sehingga ke paras pinggul. Doktor beritahu saya masalah itu mungkin disebabkan ada kesilapan pada pembedahan yang dilakukan dahulu.
 “Saya masih ingat, saya hanya menangis selepas diberitahu doktor mengenainya dan arwah suami ada bercadang nak ambil tindakan saman. Tapi, kami ini bukan orang senang, akhirnya saya ambil keputusan biarkan saja,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Persatuan Kebajikan Asnaf dan Anak Yatim Masjid Kariah Taman Rasa Sayang di rumahnya di Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Cawangan Umno dan Pengerusi Penduduk Cawangan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2, Abdul Ghani Mansoor.

Sementara itu katanya, dia tidak lagi mendapatkan rawatan di hospital sejak tahun 2014 selepas diberitahu oleh doktor yang rawatannya sudah berakhir. - Sinar Online

Comments