SEREMBAN - Kebanyakan jalan kampung tidak akan sepi dan
gelap lagi setelah matahari terbenam, keselamatan penduduk kampung pula akan
lebih terjamin, malah, mereka pastinya lebih selesa dan mudah bergerak ke sana
sini pada waktu malam.
Keselesaan itu bakal dinikmati apabila lebih banyak jalan
di ratusan kampung di seluruh negara diterangi melalui projek Lampu Jalan
Kampung Fasa Lapan (LJK8) selesai dilaksanakan secara berperingkat-peringkat
sehingga Oktober tahun ini.
Kampung Ujong Pasir, Kampung Dusun Nyior dan Kampung
Bukit Merbah adalah antara ratusan kampung di Negeri Sembilan yang mendapat manfaat
daripada pelaksanaan projek LJK8.
Ketua Kampung Ujong Pasir, Johari Shafie, 57, yang
ditemui pada pelancaran LJK8 peringkat Negeri Sembilan baru-baru ini berkata,
projek berkenaan adalah penambahbaikan kepada kemudahan sedia ada di kampung
beliau.
Walaupun kampung itu telah mendapat kemudahan elektrik
sejak 1980, namun suasananya berterusan sepi pada waktu malam memandangkan
hanya jalan utama dilengkapi lampu. Jadi, kebanyakan penduduk jarang keluar
rumah pada waktu malam kecuali kalangan yang mempunyai kenderaan bermotor.
“Setelah sekian lama, mulai tahun 2000, jalan-jalan di
kampung kami mula mendapat kemudahan lampu dan sejak itu masyarakat kampung
boleh keluar rumah untuk melaksanakan pelbagai urusan pada awal pagi dan waktu
malam termasuk berjalan ke surau.
Tambah lampu setiap tahun
Walaupun masih terdapat laluan yang belum dilengkapi
kemudahan elektrik, Johari berpuas hati melihat penduduk kampung itu selesa
menjalankan aktiviti harian. Malah sejak jalan-jalan kampung diterangi, ada
dalam kalangan mereka yang keluar bersiar-siar pada waktu malam.
Namun begitu, beliau berharap agar tiang-tiang elektrik
yang telah lama dipasang di jalan-jalan kampungnya akan dilengkapi lampu kerana
menurut beliau, “Tiang letrik memang banyak tapi hanya separuh yang berlampu
dan keadaan masih belum cukup cerah.”
Melihat situasi itu (tiang tanpa lampu) sebagai
sebahagian rancangan jangka masa panjang, setiap tahun beliau akan membuat
permohonan kepada pihak berwajib agar lampu jalan ditambah. Setakat ini,
permohonannya tidak menghadapi masalah.
Sementara itu, Ketua Kampung Dusun Nyior, Mustafa Jaafar,
73, yang mengalu-alukan projek LJK8 mengakui bahawa terdapat banyak perubahan
di kampung itu terutamanya dengan pelbagai kemudahan yang diterima saban tahun.
Beliau bagaimanapun akan terus memohon kepada pihak
berwajib agar lebih banyak lampu jalan dipasang terutamanya di kawasan
perumahan rakyat kampung berkenaan.
“Apabila persekitaran cerah diterangi lampu, suasana
bukan sahaja ceria dan meriah malah memberi kesan sehinggakan kadar kecurian
semakin berkurangan,” katanya.
Depan belakang sudah terang
Ketua Kampung Bukit Merbah, Jaafar Sidek, 70, yang turut
ditemui media pula memberitahu bahawa banyak lampu jalan dipasang terutamanya
sejak tiga tahun lepas.
“Saya sangat berterima kasih kerana bukan sahaja setiap
tiang elektrik di kampung sudah dipasang lampu, malah kampung kami juga
mempunyai surau, tadika, balai raya dan pelbagai kemudahan asas lain.
“Sekarang ini di depan rumah terang, belakang pun
terang,” tambah beliau yang menjadi ketua kampung sejak 20 tahun lepas.
Adun Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, di bawah
LJK8 itu, setiap kampung di negeri berkenaan masing-masing akan mendapat purata
30 unit lampu jalan.
“Setiap kawasan parlimen akan mendapat purata 500 unit
lampu jalan yang mana akan dipasang dalam masa terdekat,” tambah beliau.
Cekap dan selamat
Sebanyak RM3.4 juta diperuntukkan untuk pemasangan
4,337 unit lampu jalan di bawah projek LJK8 di 433 buah kampung dalam lapan
kawasan Parlimen di negeri Sembilan. Sejumlah 337 unit lampu adalah jenis diod
pancaran cahaya (LED) manakala selebihnya adalah lampu jenis High Pressure
Sodium Vapour (HPSV).
Sementara itu, kenyataan media TNB menyebut bahawa dalam
fasa satu hingga fasa ketujuh projek Lampu Jalan Kampung (LJK) yang bermula
pada 2003, sebanyak 300,000 unit lampu jalan kampung dipasang di seluruh negara
dengan kos RM150 juta. Daripada jumlah itu, 18,300 unit dipasang di Negeri
Sembilan.
Selain itu, bagi projek LJK8 pula, kerajaan
memperuntukkan RM100juta untuk memasang 111,833 unit lampu, termasuk 6,333 unit
jenis LED di kampung-kampung di seluruh negara.
Projek LJK adalah usaha berterusan kerajaan untuk memberi
kemudahan dan keselesaan kepada penduduk kampung melalui Program Bekalan Letrik
Luar Bandar.
Kenyataan media itu juga menyatakan bahawa projek di
bawah seliaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu adalah
bagi memastikan rakyat, khususnya di luar Bandar mendapat keperluan bekalan
elektrik yang mencukupi dan berdaya harap. - Sinar Online

Comments
Post a Comment