GEMAS – Penduduk di Kampung Seri Gemas boleh berbangga
apabila perkampungan berkenaan mempunyai tinggalan sejarah yang masih utuh
iaitu binaan dipercayai merupakan tugu Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) Seri Gemas, Abd Kudus Maamin berkata, cerita mengenai binaan sejarah
iaitu kubu tentera Jepun yang menyimpan senjata perang diwarisi daripada
penduduk asal, yang kebanyakannya sudah pun meninggal dunia.
Menurutnya, dia mengetahui kewujudan kubu berkenaan pada
1984 dan sejarah sebenar mengenai kubu itu, bagaimanapun tidak pernah
didokumentasikan ataupun dibuat kajian oleh mana-mana institusi berkaitan.
“Binaan ini terdapat di tanah milik Keretapi Tanah Melayu
Berhad (KTMB). Dulunya ada lubang bagi menyimpan senjata. Tapi sekarang
lubangnya sudah terkambus oleh tanah.
“Bagaimanapun, binaan batu-batanya masih utuh dan masih
menarik perhatian untuk dijadikan sebahagian daripada bahan sejarah di negeri
ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Seri Gemas.
Abd Kudus berkata, kemungkinan kubu itu dibina susulan
lokasi penempatan berkenaan terletak di tepi jalan utama Tampin - Gemas dan
juga laluan kereta api sesuai sebagai kubu pertahanan.
Menurutnya, kawasan Gemas merupakan antara kawasan
pertempuran semasa Perang Dunia Kedua antara tentera Jepun dan juga tentera
British.
“Jadi memang banyak nilai sejarahnya di kawasan ini.
Kawasan ini juga merupakan antara binaan bersejarah yang telah dilawati Exco Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu
negeri, Datuk Abd Razak Ab Said yang juga Adun Gemas.
“Kita harap agar sejarah mengenai kubu ini akan dapat
dibuat dan didokumentasikan untuk dikongsi kepada generasi akan datang,"
katanya.

Comments
Post a Comment