1,500 dijangka sertai ACR17

TELOK KEMANG - Avillion Hotel Group me­nyasarkan seramai 1,500 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai acara berbasikal Avillion Coastal Ride 2017 (ACR17) pada 17 September ini.

Timbalan Ketua Eksekutifnya, Amirul Baharom berkata, setakat ini seramai 1,200 peserta telah mengesahkan penyertaan bagi tiga acara yang dipertandingkan.
“Penyertaan masih dibuka dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada hari kejohanan iaitu 17 September nanti.
“Kategori yang dipertandingkan bukan berbentuk perlumbaan malah merangkumi acara 25 kilometer Fun Ride, 90 kilometer Scenic Ride dan 160 kilometer Endurance Ride,” katanya dalam dekat sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Zamri Mat Kasim dan wakil-wakil penaja.
Amirul berkata, acara yang akan berlangsung di Avillion Admiral Cove, Port Dickson itu menawarkan hadiah menarik selain setiap peserta turut menerima baju kayuhan basikal eksklusif, medal tamat kayuhan, insurans peribadi dan e-Sijil.
Selain itu katanya, ganjaran istimewa turut disediakan kepada pasukan dengan penyertaan paling ramai serta jersi terbaik untuk pasukan dan individu.
“Peserta ini tidak perlu risau tentang keselamatan kerana akan diiringi polis, marsyal, pasukan perubatan dan sokongan teknikal pada hari kejohanan.
“Avillion Admiral Cove adalah lokasi pelepasan dan penamat kayuhan dan laluan bakal melibatkan jalan raya pesisir pantai dari Port Dickson ke Klebang, Melaka,” jelasnya.
Acara yang mendapat kerjasama DRB-HICOM, Bank Muamalat dan Pos Laju serta Utusan Malaysia sebagai rakan media, turut disertai bekas atlet berbasikal negara, Suhardi Hassan, pelakon Lisa Surihani, Yusry KRU serta komposer Joe Flizzow. - Utusan Online




Comments