NILAI - Semangat Pendeta Za’ba harus ditiupkan khususnya
dalam kalangan anak muda di Negeri Sembilan sebagai usaha melahirkan lebih
ramai para ilmuan dan golongan cerdik pandai kelahiran negeri ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan
berkata, ia juga selari dengan hasrat kerajaan Negeri Sembilan untuk menjadikan
negeri ini sebagai lembah ilmu termasuk meneruskan kecemerlangannya dalam
bidang pendidikan.
“Negeri ini walaupun saiznya tidak besar tetapi boleh
dijadikan sebagai tempat menjana dan melahirkan ramai cerdik pandai dan para
ilmuan dengan kewujudan pelbagai institusi pendidikan termasuk institusi
melatih dan melahirkan pemimpin di peringkat perguruan dan pendidikan tinggi.
“Hasrat saya supaya lahirlah seramai mungkin pendeta
Za’ba zaman moden yang dapat memberi sumbangan dalam bidang keilmuan kepada
masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Institut Kepimpinan
dan Pembangunan (ILD) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Mohamad berkata ilmu sangat penting untuk membolehkan
rakyat terus menerokai dunia dan bersaing dalam arus dunia tanpa sempadan iaitu
zaman globalisasi agar tidak tercicir.
“Golongan pemimpin mesti pelajari ilmu-ilmu semasa untuk
kita curahkan ilmu ini kepada anak-anak didik, jadi di sinilah ILD memainkan
peranannya dalam membangunkan sumber manusia yang lebih cemerlang dan
menyediakan pegawai-pegawai muda yang bersedia memegang kepercayaan yang bakal
dipikul mereka.
“Kalau tidak ada institusi sebegini maka akan pincanglah
dan kita akan berada dalam keadaan tercicir. Apatah lagi nanti kalau kita sebut
tentang Greater ASEAN Country dalam bidang pendidikan dengan jumlah populasi
lebih 600 juta orang, kita bukan lagi bersaIng sesama sendiri tetapi bersaing
dengan anak-anak Singapura, Thailand, Filipina dan sebagainya,” katanya. -
Bernama

Comments
Post a Comment