Skip to main content

Baik pulih cerun runtuh siap dalam tempoh 10 hari

SEREMBAN – Penduduk dan para pengguna jalan raya di Kilometer 2.2, Taman Permai, Jalan Sungai Ujong di sini, boleh menarik nafas lega apabila projek membaik pulih cerun runtuh Jun lalu kini dalam proses akhir untuk disiapkan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerja-kerja pembaikan yang bermula sejak 17 Julai lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hari lagi.
“Pada mulanya kita jangka ia hanya runtuhan biasa pada musim hujan tetapi lama kelamaan semakin teruk dan menyebabkan separuh daripada jalan di sini turut runtuh sekali gus mengundang bahaya serta menyusahkan penduduk.
“Jadi kerajaan negeri buat keputusan membaik pulih se­gera kerosakan tanpa membuka tender kepada pihak lain sebalik­nya membuat rundingan terus de­ngan kontraktor dan jurutera yang mempunyai kepakaran,” katanya selepas mem­buat lawatan kerja ke lokasi tersebut di sini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Pengarah JKR negeri, Abdul Karim Mohd. Tahir.
Mohamad menjelaskan, keputusan tidak melakukan tender terbuka dibuat bagi mengelakkan tempoh masa lebih panjang diambil sedangkan masalah yang berlaku perlu diatasi segera.
Menurutnya, secara dasar­nya, tender projek yang me­lebihi RM500,000 perlu dibuat secara terbuka, namun dalam hal-hal ter­tentu kerajaan negeri membuat keputusan mengadakan run­dingan terus dengan pihak yang mempunyai kepakaran.
“Bila kita buat macam ini, ada yang tidak puas hati tetapi kerja yang perlu kepakaran se-perti ini saya tidak galakkan buka tender sebab akan me­ngundang masalah jika kontraktor dipilih tiada kepakaran,” ujarnya.
Katanya, projek itu dijangka siap lebih awal berbanding tarikh asal iaitu pada 28 Ogos ini.
Selain itu, tambahnya, kerajaan gembira kerana kos projek dapat dijimatkan kira-kira RM600,000 berbanding anggaran awal sebanyak RM2 juta. - Utusan Online



Comments