Bangkai penyu di Port Dickson

PORT DICKSON - Bangkai seekor penyu jenis karah ditemui oleh nelayan di Pantai Sea View Tanjung Gemok sekitar jam 7.30pagi tadi.
Nelayan, Hishamudin Abd Manaf,46, berkata, pemeriksaan ke atas bangkai tersebut mendapati ada kecederaan pada leher haiwan itu dipercayai terkena bilah kipas bot.
Menurutnya, perairan Port Dickson memang mempunyai hidupan penyu.
"Ini bukan kali pertama bangkai penyu ditemui di sepanjang pantai-pantai di Port Dickson.
"Malah saya juga pernah menjalani kursus tentang pengendalian dan pemuliharaan penyu beberapa tahun lepas.
"Pada awalnya bangkai penyu tu kawan saya yang jumpa dan dia memaklumkan kepada saya kerana dia tahu, saya mempunyai sedikit pengetahuan tentang penyu, dan kebetulan pula, saya memang berada di kawasan berhampiran, sedang hendak menurunkan sampan untuk ke laut," katanya.
Hishamudin berkata, berdasarkan keadaan bangkai tersebut, mungkin haiwan itu telah mati sekitar dua hari.
"Berdasarkan saiznya juga usia penyu mungkin sekitar dua tahun setengah," katanya.

Hishamudin menambah, penemuan bangkai penyu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut. – Sinar Online

Comments