KUALA PILAH - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) Seberang Pekan bersedia membantu masyarakat tanpa mengira kaum
dan agama bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi.
Pengerusinya, Ashroldin Abd Rashid, 57, berkata, JKKK
komited membantu terutama mereka yang kurang mampu.
“Menerusi program Ziarah Kasih, sebanyak enam keluarga
pelbagai bangsa terpilih menerima sumbangan daripada JKKK Seberang Pekan dan
Umno cawangan Seberang Pekan.
“Kami tak pernah melupakan masyarakat lain. Walaupun
kebanyakan JKKK adalah bangsa Melayu, tapi kami sedar tak seharusnya lebih
mementingkan bangsa kami sendiri,” katanya.
Menurut Ashroldin, penerima yang terpilih kebanyakannya
mengalami masalah kesihatan, orang kurang upaya (OKU), mualaf dan kurang mampu.
“Mana yang dirasakan perlu dibantu, kami akan bantu
mereka tanpa bermusim. Perkara ini juga disarankan oleh kerajaan bertepatan
dengan konsep 1Malaysia berpaksikan prinsip ‘rakyat didahulukan, pencapaian
diutamakan’,” katanya.
Ujarnya, dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan
sebagai pengerusi JKKK, tiada tembok yang dijadikan halangan, walaupun
perbezaan agama dan warna kulit sekali pun.
“Apabila kita berbicara soal kemanusiaan, bukan agama
atau bangsa perlu kita fikirkan, ia sangat luas,” katanya.
Sementara itu, penerima, Ismail Yaacob, 40-an, bersyukur
kerana menerima sumbangan tersebut.
“Saya tiada pekerjaan tetap dan hanya cari rezeki sekadar
yang mampu saja. Memiliki enam anak dan ada daripadanya telah bersekolah,
sedikit sebanyak membebankan juga.
“Dengan bantuan ini, dapat meringankan beban keluarga
berikutan isteri juga tak bekerja,” katanya yang menyewa sebuah rumah dan
merupakan penerima bantuan Baitulmal. - Sinar Online


Comments
Post a Comment