NILAI - Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017 negara, Datuk
Marina Chin tidak mahu meletakkan sukan berbasikal sebagai lubuk emas pada
temasya di tempat sendiri kali ini.
Sebaliknya bekas atlet 100 meter lari berpagar wanita
negara itu lebih suka melihat kepentingan basikal secara keseluruhan iaitu sama
pentingnya dengan sukan-sukan lain untuk menjadikan Malaysia juara keseluruhan.
“Saya sebagai ketua kontinjen lebih suka melihat semua
sukan sebagai penyumbang penting pingat emas kepada Malaysia.
“Jadi saya tidak akan meletakkan sukan berbasikal atau
mana-mana sukan sebagai lubuk emas sebab saya yakin ia akan memberi tekanan
yang lebih kepada mereka (pelumba negara).
“Sudah tentu itu
bukan satu perkara yang adil memandangkan mereka sudah berlatih keras. Apa yang
kita hendak ialah mewujudkan satu keadaan di mana mereka selesa, lebih fokus
dan tidak payah fikir benda-benda lain kecuali prestasi mereka sahaja pada
Sukan SEA nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke
Velodrom Nasional Nilai untuk bertemu dengan pelumba basikal trek negara di sini
hari ini.
Bagaimanapun menurut Marina, beliau hanya dapat bertemu
dengan pelumba trek endurance (acara jarak jauh) sahaja hari ini memandangkan
pelumba-pelumba pecut masih menjalani latihan di Melbourne termasuk Azizulhasni
Awang, Fatehah Mustapha dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
“Mereka hanya akan pulang esok (Rabu) dan harapan saya,
pelumba trek kita akan mencatat kejayaan besar di Sukan SEA 2017 nanti,”
tegasnya.
Mengenai pemilihan Azizulhasni sebagai salah seorang
daripada pembawa bendera kontinjen negara pada upacara pembukaan temasya kali
ini, Marina menyifatkan ia satu penghormatan kepada sukan berbasikal trek itu
sendiri.
“Itu satu penghargaan kepada Azizul sebagai juara dunia
(keirin) dan basikal trek itu sendiri,” ujarnya.
Selain Azizulhasni, dua lagi juara dunia yang akan
menjadi pembawa bendera adalah Al Jufferi Jamari dari sukan silat dan penerjun,
Cheong Jun Hoong. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment