Dun kecoh, pembangkang tidak puas hati

SEREMBAN - Dewan Persidangan Dun Negeri Sembilan kecoh kira-kira 10 minit apabila Adun Chennah, Loke Siew Fook tidak berpuas hati dengan penerimaan jawapan bertulis yang hanya diberi kepada ahli dewan bertanya sahaja.

Menurut Ketua Pembangkang Negeri itu, selama ini bertahun-tahun setiap ahli dewan diberi jawapan bertulis bagi semua jawapan, tetapi pada kali ini hanya ahli dewan yang bertanya sahaja yang terima jawapannya, tidak diberi lagi jawapan bertulis bagi pihak lain.
"Saya tidak berpuas hati dengan cara terbaru ini, jawapan hanya diberi kepada orang yang bertanya sahaja, tetapi jawapan ahli dewan yang lain tidak disertakan sekali.
"Dulu kita dapat buku jawapan tebal dengan jawapan semua ahli dewan tetapi hari ini saya hanya dapat jawapan dari soalan saya sahaja.
"Apa rasionalnya Speaker Dun kita buat sistem sebegini, saya tidak nampak di mana kelebihan cara yang dilakukan ini, hanya terima jawapan soalan sendiri sahaja, tetapi jawapan ahli dewan yang lain tidak ada," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang ke-13, disini semalam.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan, Datuk Dr Awaludin Said memberitahu pihaknya telah membuat keputusan bahawa soalan bertulis hanya diberi kepada Ahli Dewan yang bertanya sahaja, berikutan tiada keperluan untuk membekalkan semua jawapan kepada ahli dewan yang lain.
“Tiada sebab jawapan bertulis perlu diberikan kepada semua ahli dewan, namun tidak menjadi kesalahan sekiranya ahli-ahli Yang Berhormat mahu mengumpul jawapan bertulis yang disertakan dengan meminta kepada ahli dewan lain,” katanya.

Katanya, walau bagaimanapun, jawapan sepenuhnya boleh diterima pada persidangan Dun yang akan datang. – Sinar Online

Comments