SEREMBAN – Lagu ‘Tanah Pusaka’ dan ‘Dirgahayu’ membawa
tuah kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar di sini yang
muncul juara pertandingan Koir Antara Jabatan Sempena Hari Kebangsaan baru-baru
ini.
Kumpulan koir IPG Kampus Raja Melewar menewaskan wakil
enam jabatan lain dalam pertandingan anjuran Majlis Kebudayaan Daerah Seremban
yang diadakan di Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
(JKKN) Negeri Sembilan.
Sebagai juara, mereka membawa pulang wang tunai RM3,000,
piala iringan dan sijil.
JKKN Negeri Sembilan pula memenangi tempat kedua
manakala Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di tempat ketiga dan masing-masing
mendapat wang tunai RM2,000 dan RM1,000 selain piala dan sijil.
Penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi
Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Abd.
Razak Ab. Said.
Menurut Abd. Razak, pertandingan itu diadakan bagi
memupuk semangat berpasukan dalam kalangan ahli-ahli kumpulan daripada pelbagai
jabatan di negeri ini.
“Melalui semangat berpasukan akan menjadikan irama dan
lagu yang dipersembahkan lebih menarik dan memikat hati apabila didengar.
“Pertandingan lagu yang bertemakan patriotik ini juga
adalah antara pengisian utama Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara Ke-60 bagi
peringkat negeri,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di sini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara negeri, Mohd. Radzi Omar; Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten
Komisioner Thiew Hock Poh dan pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri
Sembilan, Aziz Mohd. Gorip. – Utusan Online

Comments
Post a Comment