Jenazah Timbalan Pengarah Cawangan Khas selamat dikebumikan

SEREMBAN - Jenazah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 (M) Bukit Aman, Datuk Mohd. Sofian Md. Makinuddin, 61, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Gebok, Mantin, dekat sini tengah hari tadi.
Jenazah Allahyarham terlebih dahulu disembahyangkan di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi selepas beliau disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah jantung pada pukul 8.14 pagi.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Noraini Hassan serta lima orang anak dan seorang cucu.
Lebih 100 orang menghadiri majlis pengkebumian itu termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin dan timbalannya, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun. - UTUSAN ONLINE


Comments