Skip to main content

Kembara GISO USIM telah jelajah 20 negara

SEREMBAN  – Sebanyak 156 misi khidmat masyarakat di luar negara dilaksanakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah program Global Islamic Students Outreach (GISO) dari tahun 2011 hingga tahun lalu.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, ia melibatkan 3,181 peserta yang menjalankan 974 aktiviti sukarela di 20 buah negara antaranya Laos, China, Taiwan, Maldives, Jordan dan Lebanon.
Beliau memberitahu, misi kembara GISO tersebut melibatkan kos berjumlah RM6.76 juta dengan 85 peratus daripadanya dibiayai me­lalui usaha peserta, aktiviti keusahawanan dan tajaan.
“Pengembaraan yang dilakukan pelajar dapat memberi pengalaman baharu untuk diteroka dan berupaya melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang tidak mungkin diperoleh di dalam universiti.
Advertisement
“Saya juga dapati para peserta yang berpeluang melihat situasi di negara lain melahirkan rasa syukur dengan nikmat yang ada di negara kita,” kata ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Amal ‘For Fee and Friends’ di Dewan Tuanku Canselor USIM di sini.
Majlis dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut melancarkan Buku Foto 2016 ‘Pengembaraan USIM GISO’.
Sementara itu, Mohamad da­lam ucapannya berkata, walaupun USIM dianggap sebagai universiti yang masih muda usianya, namun berupaya menggerakkan aktiviti bermanfaat.
Beliau juga mengingatkan pi­hak universiti dan mahasiswa agar sentiasa mendekati orang ramai dan berkongsi pengetahuan dalam usaha melahirkan masyarakat yang progresif.
“Mahasiswa jangan mengasingkan diri dan perlu mendedahkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan serta mencari ilmu selain di dalam bilik kuliah,” katanya.
Dalam majlis yang sama, beliau turut melancarkan Alumni Chapter Negeri Sembilan dan Tahun Berjeda Kesukarelaan GAP Year Volunteerism serta me­nyampaikan sumbangan berjumlah RM250,000. - Utusan Online




Comments