SEREMBAN - Kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian
kepada pelaksanaan perbelanjaan kewangan secara berhemah dengan penuh integriti
dan akauntabiliti dalam melaksanakan tugas dan amanahnya untuk menawarkan
perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan
berkata, ia dibuktikan dengan penganugerahan sijil audit bersih dari Jabatan
Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri sejak 15 tahun
kebelakangan ini.
“Dalam menguruskan dan pengawalan dana-dana awam,
kerajaan negeri melalui jabatan atau agensinya akan menilai setiap
perbelanjaannya berasaskan kepada nilai untuk wang dan kajian pasaran agar
pulangan yang diterima adalah setara ataupun lebih daripada apa yang
dibelanjakan.
“Seterusnya, kerajaan negeri melalui Pejabat Kewangan dan
Perbendaharaan Negeri sentiasa memantau semua urusan perbelanjaan dan perolehan
kerajaan dari semasa ke semasa untuk memastikan kepatuhan jabatan / agensi
terhadap Arahan Perbendaharaan,” katanya.
Mohamad (BN-Rantau) berkata demikian menjawab soalan Yap
Yew Weng (DAP-Mambau) mengenai langkah-langkah kawalan perbelanjaan atau
tindakan bagi memperketatkan kawalan perbelanjaan kerajaan negeri dalam tempoh
empat tahun pemerintahan ini, dalam Persidangan Kedua Penggal Kelima Dewan
Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang ke-13 di sini, hari ini.
Mohamad berkata, tambahan kepada pemantauan ini, kerajaan
negeri juga melaksanakan inisiatif kawalan perbelanjaan antaranya
menguatkuasakan Pekeliling-Pekeliling Pejabat Kewangan Negeri- Garis Panduan
Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan setiap tahun.
“Menjadikan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 3.3 Tahun
2016-Garis Panduan Langkah-langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan yang
dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia sebagai rujukan dalam mengawal
perbelanjaan kerajaan negeri,” katanya.
Melalui pemantauan dan inisiatif tersebut, kedudukan
kewangan kerajaan Negeri Sembilan didapati terus mencatatkan prestasi yang
menggalakkan, baik dari aspek kutipan hasil dan perbelanjaan sejak empat tahun
kebelakangan ini yang membolehkan rizab kerajaan Negeri Sembilan pada 2013 yang
berjumlah RM458.89 juta meningkat kepada RM540.19 juta pada 2016.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1
baru-baru ini mengenai prestasi pengurusan kewangan bagi 13 Jabatan/Agensi
Negeri, Negeri Sembilan pada tahun 2016 mendapati sembilan Jabatan/Agensi
Negeri atau 69 peratus mencapai tahap Cemerlang manakala empat Jabatan/Agensi Negeri atau 31 peratus
berada di tahap Baik. - Bernama

Comments
Post a Comment