SEREMBAN – Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas di Linggi, Port Dickson kini dalam proses baik pulih dan dijangka selesai pada September depan.
Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Aziz Mohd. Gorip berkata, kerja-kerja baik pulih bermula awal bulan ini bertujuan memulihara salah satu produk pelancongan bersejarah di negeri ini.
“Antara pemuliharaan yang dilakukan adalah pembaikan atap, pendawaian semula elektrik, penggantian pagar kawasan dan penyelenggaraan kawasan keliling.
“Ia juga melibatkan kerja-kerja kemasan seperti mengecat, membaiki papan tanda penerangan dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Advertisement
Beliau berkata, peruntukan bagi kerja-kerja tersebut disalurkan Jabatan Warisan Negara dengan matlamat memelihara Kompleks Sejarah Pengkalan Kempas yang diangkat sebagai Warisan Kebangsaan pada 2015.
Ujarnya, kompleks itu menempatkan makam pendakwah, Syeikh Ahmad Majnun yang telah menyebarkan Islam semasa zaman Kesultanan Melaka.
Selain itu, terdapat juga batu megalith atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai ‘batu hidup’ yang dipercayai wujud sejak abad ke-2 dan ke-3 di kompleks sejarah berkenaan. - Utusan Online

Comments
Post a Comment