JEMPOL – Kesungguhan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat telah mendorong kerajaan melancarkan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) versi 2.0 tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, versi baharu akan dilakukan secara lebih hebat berbanding KR1M sedia ada yang kini menerima rungutan pengguna berkaitan harga barang lebih mahal berbanding pasaran biasa.
Katanya, cadangan KR1M 2.0 telah dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri yang memberi persetujuan bagi pelaksanaannya.
Beliau berkata, kerajaan kini dalam proses menetapkan kriteria KR1M 2.0 supaya ia mampu mencapai hasrat yang dikehendaki kerajaan untuk terus membela rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Advertisement
“Pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya tidak dapat mendedahkan butiran lanjut pada masa ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Sayap UMNO Bahagian Jempol, di sini hari ini.
Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menamatkan segera kontrak syarikat mengendalikan KR1M yang menjual produk jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan memberi peruntukan kepada syarikat berkenaan untuk memastikan produk yang dijual lebih murah.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Ahmad Zahid untuk menamatkan kontrak pengendali KR1M sekiranya syarikat berkenaan tidak mampu melaksanakan program itu seperti dikehendaki kerajaan.
Katanya, kerajaan banyak membantu operator tersebut menjayakan pelaksanaan program berkenaan.
“Siapa yang kata kita tak bantu, Kita banyak membantu tetapi dia kata seolah-olah kita tidak bantu,” katanya.
KR1M yang diilhamkan Najib pada Jun 2011 telah dilancarkan di seluruh negara bertujuan mengurangkan beban kos sara rakyat selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan. - Utusan Online

Comments
Post a Comment