SEREMBAN - Laluan baharu perkhidmatan myBAS yang
kini menghubungkan hampir semua pejabat penting kerajaan,
hospital dan juga institusi pendidikan, nyata melegakan keresahan warga Negeri Sembilan.
Apa tidaknya, mereka kini tidak perlu lagi memikirkan
soal parkir kenderaan, ditambah pula
perkhidmatan itu kini turut menyenaraikan Hospital Tuanku Jaafar sebagai antara destinasi laluannya.
Penjawat awam, Mohd Fairuz Zaharuddin, 32, berkata beliau
sebelum ini kerap berhadapan dengan masalah mencari ruangan parkir kenderaan,
yang kadangkala memaksanya meletakkan kenderaan jauh dari hospital.
“Sebelum ini saya menaiki kereta, tetapi kali ini saya
memilih untuk menaiki bas memandangkan sudah ada perkhidmatan masuk terus ke
kawasan hospital. Sekarang tidak perlu bawa kereta ke hospital dan ini sudah
tentu menjimatkan masa mencari ruangan
parkir,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Perkhidmatan myBAS diwujudkan bertujuan menghubungkan
kawasan bandar dan luar bandar dengan lebih efisyen melalui jadual masa yang
telah ditetapkan, agar dapat membantu penduduk setempat supaya lebih mudah
berulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan pelbagai lokasi lain.
Melalui kemudahan pengangkutan awam yang baik seperti
myBAS, ia sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan taraf hidup penduduk.
Seorang pengguna myBAS, Ahmad Sufian Ghazali, 40, berkata
perkhidmatan myBAS itu dapat memudahkan
orang ramai terutama golongan warga emas melakukan urusan perubatan di hospital
tersebut.
“Kadang-kadang kita kasihan juga melihat orang tua
berjalan kaki jauh nak ke bangunan hospital. Sekarang apabila bas mula masuk
kawasan hospital, saya pun jadi gembira,’’ katanya.
MyBAS yang dilengkapi dengan sistem kedudukan geografi
(GPS) beroperasi daripada Isnin hingga
Ahad mulai 6 pagi hingga 9 malam, meliputi seluruh kawasan di daerah Seremban,
Nilai Sentral, Nilai 3, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Bahau,
Kuala Pilah, Batu Kikir, Tampin, Rembau, Port Dickson dan Lukut.
Bagi laluan di Seremban, ia meliputi kawasan Perbadanan
Perpustakaan Awam, Jabatan Insolvensi Malaysia, Bank Rakyat, Pejabat Kesihatan
Seremban, Cosmo Point, Klinik Pakar Kanak-Kanak, Majlis Agama Islam Negeri
Sembilan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pejabat Felda, Wisma Negeri, Masjid
Negeri, Giat Mara Rasah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Imigresen,
Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Wisma
Perkeso.
Ia turut melalui Pasar Besar Seremban, Jabatan Kehakiman
Syariah Negeri Sembilan, Kraftangan, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad, Pejabat Pos Besar Seremban, KTM
Seremban, Majlis Perbandaran Seremban dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
Tambang yang dikenakan bagi laluan Seremban ialah RM1.60.
MyBAS merupakan satu daripada 45 manifesto Barisan
Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) yang bertujuan untuk menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar
dengan lebih efisyen.
Setakat ini, myBAS yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU),
mempunyai 107 bas yang beroperasi dan mampu menampung seramai 65 penumpang pada
satu masa. - Bernama

Comments
Post a Comment