Penutupan laluan sempena Sukan Sea ke-29

SEREMBAN - Beberapa laluan di Nilai akan ditutup secara berperingkat mulai 19 hingga 24 Ogos ini bagi memberi laluan kepada acara berbasikal sempena Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, acara dipertandingkan adalah berbasikal lebuh raya, berbasikal BMX dan berbasikal trek.


"Elak guna Jalan Dataran Nilai menghala ke bulatan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Jalan Bulatan KLIA menghala ke Pekan Salak Tinggi melalui SIC (Litar Antarabangsa Sepang) dan Jalan Salak menghala ke Persiaran Korporat.
"Seterusnya Jalan Bulatan Putra menghala ke Taman Semarak, Jalan Taman Semarak menghala ke Plaza Tol Nilai dan Jalan Plaza Tol Nilai menghala ke Dataran Nilai," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif yang telah dirancang untuk mengelak terperangkap dalam kesesakan.
"Dari Plaza Tol Nilai menuju ke arah KLIA, orang ramai boleh guna Jalan Perak menuju ke arah Pekan Nilai, Jalan Labu, Gadong, LBJ, Bandar Enstek dan seterusnya menuju ke KLIA melalui SIC.
"Dari Nilai menuju ke arah Lebuhraya Plus (Lebuhraya Utara-Selatan) pula, semua dinasihatkan guna Plaza Tol Ainsdale melalui Jalan Labu.
"Bagi yang datang dari arah Mantin menuju ke Lebuhraya Plus, guna Plaza Tol Bukit Mahkota melalui Jalan Nilai 3 atau Lekas (Lebuhraya Kajang-Seremban)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Muhamad Zaki, latihan rasmi bagi semua pasukan melibatkan acara lebuh raya di Dataran Nilai akan berlangsung pada 19 dan 20 Ogos.
"Pertandingan bagi acara ujian masa berpasukan lelaki, mass start individu lelaki dan perempuan pula berlangsung pada 22 hingga 24 Ogos.
"Seterusnya latihan rasmi acara berbasikal BMX di sekitar Velodrom Nasional dijadualkan pada 24 dan 25 Ogos, manakala pertandingan pada 26 Ogos.
"Bagi acara berbasikal trek di Velodrom Nasional, latihan rasmi pada 25 dan 26 Ogos. Ini disusuli hari pertandingan pada 27 hingga 29 Ogos," katanya.
Selain venue pertandingan, kata beliau, tiga tempat turut menjadi tumpuan sepanjang temasya berkenaan iaitu kawasan penginapan atlet.
"Lokasi terbabit di Nilai Spring Hotel yang menjadi venue penginapan atlet dan dua penginapan lain untuk petugas iaitu di Nilai Hotel dan Hype Motorsports Hotel.  Kesemuanya di Bandar Baru Nilai," katanya.
Muhamad Zaki berkata, polis akan turut mengedarkan risalah membabitkan senarai laluan yang ditutup kepada penduduk setempat bagi memudahkan mereka merancang perjalanan.

"Bilik gerakan polis negeri juga telah beroperasi secara penuh, bermula pada 10 Ogos lalu. Sebarang pertanyaan boleh dibuat ke talian 06-7619999," katanya. - Sinar Online

Comments