Polis buru warga asing suspek kes pecah rumah

SEREMBAN - Polis sedang memburu seorang lelaki warga asing yang masih bebas kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Senawang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki warga asing itu dikenali sebagai Ali dan berusia 30-an.

"Lelaki ini merupakan suspek dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Senawang dan terbaru di Taman Rasa Sayang dalam kejadian yang berlaku pada 6 Ogos lalu.
"Seorang rakannya berusia 29 tahun telah berjaya ditahan oleh penduduk taman itu (Taman Rasa Sayang) yang terserempak ketika membuat rondaan di taman jam 5 pagi selepas mereka memecah masuk sebuah rumah mangsa,"katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Seremban di sini, hari ini.
Beliau berkata, penahanan itu membawa kepada penemuan semula barangan yang dicuri antaranya dekoder, jam tangan, telefon bimbit dan cincin dengan nilai keseluruhannya RM2,000.
Katanya, hasil soal siasatan lanjut ke atas tahanan yang dikenali Ali sejak lima tahun lalu, polis percaya telah berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah yang dilakukan kumpulan berkenaan di sekitar Senawang dengan dianggarkan kerugian RM50,000.
"Modus operandinya, kenderaan jenis Proton Wira Aeroback yang dinaiki akan diletakkan jauh dari lokasi sasaran dan lelaki yang dikehendaki polis bernama Ali itu akan memecah masuk ke rumah mangsa manakala seorang lagi akan mengawal di luar.
Menurutnya, usaha menjejaki lelaki yang masih bebas berkenaan masih giat dan dijalankan.
"Sehubungan dengan itu, polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu siasatan dan sekiranya mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran,"katanya.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, Sulizmie Affendy berkata, polis berjaya menyelesaikan satu lagi kes pecah rumah yang berlaku di Bandar Seremban Selatan dalam masa yang singkat iaitu lima jam.
"Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah rumah yang didiami seorang pelajar kolej swasta berusia 21 tahun.
"Ketika kejadian berlaku jam 10 pagi, mangsa yang tinggal sendirian dan berada di dalam bilik, telah terdengar bunyi bising dari luar biliknya. Apabila mangsa keluar dari bilik, dia mendapati keadaan rumahnya berselerak dan gril dan mangga pintu telah diumpil.
Beliau berkata, bertindak atas laporan tersebut, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Seremban dengan dibantu Balai Polis Senawang telah melakukan tangkapan ke atas suspek kira-kira jam 3.30 petang yang beralamat di Taman Seremban Jaya.
"Daripada penemuan di rumah suspek, polis turut menemui barang-barang kes antaranya komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai dipercayai hasil kegiatan 10 pecah rumah yang dilakukan dengan nilai berjumlah RM20,000.
"Suspek yang merupakan seorang penganggur dan baru keluar empat bulan lalu dari menjalani hukuman penjara atas kesalahan samun serta mempunyai lima rekod jenayah lampau telah ditahan reman sehingga hari ini.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Comments