Polis sedang kesan kanak-kanak dilapor hilang

PORT DICKSON - Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sebelum kali terakhir dilihat di rumah penyelia asrama Politeknik Port Dickson tempat ibunya bekerja.
Pemangku Ketua Polis Daerah Port Dickson, Asisten Superintendan Rujiman Ogus berkata, setakat ini pihaknya sedang menyiasat dan mencari Faralysa Amani Fazil selepas satu laporan polis tentang kehilangannya di buat bapanya pagi tadi.


Menurutnya, berdasarkan maklumat awal kejadian itu disedari oleh ibu kanak-kanak tersebut yang mahu mengejutkannya bangun untuk bersiap ke sekolah pagi tadi.
"Polis sedang menyiasat dari semua sudut tentang motif kehilangan kanak-kanak tersebut dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi," katanya.
Rujiman menambah, sehingga kini (jam 1.30petang) keluarga kanak-kanak tersebut juga tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada mana-mana pihak termasuk tiada yang meminta wang tebusan yang boleh dikaitkan kes ini sebagai kes culik.
"Polis masih lagi melakukan siasatan di rumah tempat kanak-kanak itu tidur sebelum dia disedari hilang pagi tadi," katanya.
Sementara abang saudara kanak-kanak tersebut, Mohd Adib Afiq Azmi,24, berkata, Faralysa Amani anak sulong daripada dua beradik didapati hilang sekitar jam 6pagi.
"Ayahnya nelayan, balik kerja dalam jam 3pagi tadi dan tengok anaknya dalam bilik sedang tidur.
"Tapi dalam jam enam macam tu, masa nak kejut ke sekolah, Amani dah tak ada dan tingkap ruang depan rumah ada kesan diumpil," katanya.
Mohd Adib berkata, dia, ayah Amani dan juga beberapa ahli keluarga dan rakan-rakan telah mencari Amani disekitar politeknik dan kawasan berhampiran, tapi gagal menemuinya.

"Selipar Amani masih ada lagi depan rumah, saya mohon semua doakan keselamatan Amani, segera ditemui dalam keadaan selamat," katanya. – Sinar Online

Comments