TELOK KEMANG– Empat politeknik akan mewakili negara dalam
Kongres dan Kejohanan Persatuan Robot Bola Sepak Antarabangsa (FIRA) Roboworld
ke-22 di Taiwan dari 22 hingga 29 Ogos ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Dr.
Mohd. Ismail Abd. Aziz berkata, empat politeknik tersebut ialah Politeknik
Sultan Idris Shah, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Azlan Shah dan
Politeknik Port Dickson.
“Pasukan Malaysia yang terdiri daripada 24 pelajar akan
menyertai empat kategori utama iaitu HuroCup, AndroSot, RoboSot dan SimuroSot
serta 30 sub kategori lain.
“Kejohanan ini merupakan kali kelapan penyertaan
politeknik Malaysia dalam FIRA Roboworld dan mereka akan bertanding dengan 10
negara lain bagi merebut kejuaraan," katanya.
Beliau ditemui selepas lawatan kerja sempena persiapan
pasukan Politeknik Malaysia ke kejohanan tersebut, dekat sini, semalam.
Kejohanan FIRA Roboworld merupakan acara tahunan yang
diadakan sebagai platform pertandingan robot bola sepak serta dijadikan medan
pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa.
Mohd. Ismail berkata, pertandingan tersebut secara tidak
langsung membantu pelajar untuk berfikiran kreatif dalam melakukan inovasi dan
strategi terbaik kepada robot pasukan masing-masing.
Sebagai persiapan katanya, para peserta mendapat
bimbingan daripada pensyarah kejuruteraan di beberapa politeknik dalam usaha
menambah baik robot sedia ada.
“Justeru, setiap pasukan perlu menggunakan pengalaman
tersebut sebaik mungkin untuk memberi saingan hebat kepada pasukan yang
bertanding.
“Saya berharap semua pasukan yang mewakili Malaysia akan
bersaing dengan semangat juang yang tinggi serta mempamerkan keupayaan
semaksimum mungkin sekali gus membawa kejayaan kepada negara,” ujarnya.
Pasukan Malaysia terdiri daripada pelajar yang sedang
mengikuti pengajian dalam program Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi,
Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer, Diploma Mekatronik dan Diploma
Teknologi Maklumat. - Utusan Online

Comments
Post a Comment