REMBAU - Sebanyak satu juta benih udang galah yang
dianggarkan bernilai RM120,000 dilepaskan oleh Jabatan Perikanan di Sungai
Timun di sini semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan
berkata, jumlah benih itu merupakan rekod paling banyak dilepaskan sekali gus
mencatatkan sejarah baharu dalam usaha pemuliharaan sumber perikanan negara.
“Kita memilih Sungai Timun kerana ia terkenal dalam
kalangan pemancing udang galah. Bagaimanapun, kita dapati pendaratan udang
galah semakin berkurangan sejak tahun 2011 iaitu sebanyak 3.52 tan metrik
kepada 0.61 tan metrik pada tahun 2015.
“Justeru, menjadi tanggungjawab jabatan ini bagi memulihara
dan meningkatkan sumber udang galah di Sungai Timun,” katanya ketika berucap
pada Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Pangkalan Nelayan Sungai Timun di
sini.
Pelepasan benih udang galah disempurnakan oleh Menteri Besar,
Datuk Seri Mohamad Hasan. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak
Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi.
Ismail berkata, program tahunan yang diadakan Jabatan
Perikanan itu dapat meningkatkan sosioekonomi nelayan dan penduduk setempat
serta mendidik masyarakat untuk menghargai sungai dan alam sekitar. - UTUSAN
ONLINE

Comments
Post a Comment