GEMAS - Seorang warga emas di Felda Jelai 4, di sini,
mencari ibu atau bapa kandung kanak-kanak lelaki yang dijaganya bagi membantu
urusan pengambilan anak angkat.
Fatimah Azid, 62, berkata, dia cuba mencari bapa dan ibu
kandung anak angkatnya itu, Mohammad Amir Rayyan Abdullah, 5, melalui alamat
yang tertera di sijil kelahiran, namun gagal.
Menurutnya, bapa kandung Mohammad Amir dikenali sebagai
Shaiful menyerahkan bayinya itu ketika berusia 10 hari kepada anak keempatnya,
Azlan Samin, 35, di Cheras, Kuala Lumpur.
“Masa tu anak hubungi saya beritahu ada orang nak bagi
bayi. Saya cakap padanya, saya hanya akan setuju kalau bayi tu diserahkan
bersama sijil kelahiran, MyKid dan juga buku rekod kesihatan hospital.
“Semasa diserahkan, bapa kandung bayi berkenaan
menyatakan ingin serahkan anaknya kepada kami sekeluarga sekiranya anaknya
dijaga dengan baik,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Felda Jelai
4, di sini, semalam.
Fatimah yang mempunyai sembilan anak berkata, kali
terakhir mereka bertemu ketika Mohammad Amir hampir berusia setahun dan selepas
itu mereka terputus hubungan.
“Kehadiran Mohammad Amir menceriakan keluarga besar kami.
Saya jaga dia dengan didikan dan kasih sayang macam anak sendiri,"
katanya.
Bagaimanapun katanya, dia berdepan kesukaran untuk urusan
pengambilan anak angkat memandangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
memerlukan ibu atau bapa kandung Mohammad Amir untuk datang bagi proses
tersebut.
“Proses urusan anak angkat ini sangat penting untuk masa
depan Mohammad Amir terutamanya dari segi pendidikan, tambahan pula tahun depan
dia sudah berusia 6 tahun dan akan masuk prasekolah.
“Saya buntu tak tahu mana nak cari bapa dan ibu
kandungnya. Saya berharap sangat jika ibu kandungnya terbaca berita ini dapat
hubungi semula kami sekeluarga atau datang ke rumah kami di Jelai 4 ini,”
katanya. – Sinar Online

Comments
Post a Comment