MAHSAN - Bukan sahaja menyedihkan, kebanyakan kisah diceritakan
oleh penghuni rumah orang tua, Sejahtera Mahsan di sini kepada pelajar
Pendidikan Sivik, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chi Wen, Bahau ternyata
memberikan kesan mendalam.
Sisa-sisa usia penghuni rumah kebajikan itu sewajarnya
diakhiri dengan kegembiraan dan ketenangan bersama keluarga, namun sebaliknya
pula yang dirasai. Bagaimanapun mereka tetap bersyukur kerana masih ada yang
sayang dan prihatin.
Seorang pelajar, Tang Rui Chong, 15, berkata, pelbagai
kisah meruntun jiwa yang didengari memberikan keinsafan kepada dirinya.
"Ya nasib kita tidak akan sama suatu hari nanti,
namun kita wajar menghargai warga tua ini kerana sewaktu sihat mereka juga
telah banyak menyumbang keringat.
"Apa yang berlaku pada zaman muda, hanya mereka
sahaja yang faham dan sebagai anak muda kisahnya harus dijadikan tauladan.
"Bagaimanapun, saya amat berharap anak-anak di luar
sana yang masih mempunyai ibu bapa jangan biarkan mereka menghabiskan sisa
hidup di rumah penjagaan. Mereka sanggup bersusah payah membesarkan kita, maka
balaslah jasa mereka sementara masih bernyawa," katanya.
Rakannya, Chun Qin Hui, 15, pula berkata, dia berpuas
hati dapat menyumbang sesuatu kepada penghuni di situ walaupun tahu kebanyakan
mereka telah kehilangan keluarga.
"Kita sangat bertuah kerana masih ada keluarga,
manakala penghuni di sini sebaliknya. Kita dapat lihat wajah ceria mereka
apabila kita berkunjung di sini.
"Mereka peramah cuma faktor usia dan kesihatan
menyebabkan pertuturan mereka kurang jelas," katanya.
Kumpulan pelajar itu turut menghulurkan sumbangan berupa
makanan selain mengadakan persembahan di hadapan penghuni rumah orang tua
Sejahtera Mahsan.
Lawatan itu dirancang oleh Guru Kanan mata pelajaran
kemanusiaan SMJK Chi Wen, Bahau, C Krishna Murthy.
Sementara itu, Krishna Murthy berkata, ia adalah salah
satu usaha pihak sekolah untuk mendidik pelajar peka akan keadaan sekeliling
selain menjadi lebih bertanggungjawab.
"Pendidikan dalam kelas sahaja tidak cukup, mereka
mesti didedahkan dengan hidup bermasyarakat. Dengan itu, mereka mampu membuat
keputusan lebih baik selain cemerlang dalam akademik," katanya. – Sinar Online

Comments
Post a Comment