SEREMBAN – Semangat patriotisme yang tinggi bagi meraikan
bulan kemerdekaan membuatkan seorang warga emas di Rumah Rakyat Panchor di
sini, tidak lokek menempah sepersalinan lengkap baju bendera sejak 17 tahun
lalu.
Malah Jamaluddin Malek, 65, sanggup menempuh perjalanan
sejauh lebih 300 kilometer menunggang motosikal Honda EX5 miliknya semata-mata
mahu menyambut hari kemerdekaan di tiga negeri iaitu Seremban, Melaka dan Johor
Bahru.
“Pada 31 Ogos seawal jam 3.30 pagi saya dengan penuh
bangga keluar rumah memakai baju bendera dan menunggang motosikal dari Seremban
menuju ke Melaka dan Johor Bahru.
“Saya nak orang nampak sayalah rakyat Malaysia yang
sangat berbangga dengan kemerdekaan yang dimiliki dan masih mampu dipertahankan
sehingga kini hasil keringat perjuangan para pejuang terdahulu,”katanya.
Menurutnya, dia akan memperuntukkan sekurang-kurangnya
RM150 untuk menempah baju bendera berserta ‘ketayap’ yang hanya mengambil masa
kurang dari seminggu untuk disiapkan.
Namun Jamaluddin mengakui ada yang memandangnya pelik
kerana memakai baju bendera lebih-lebih lagi dengan usianya yang sudah tua.
“Apa nak dimalukan bila pakai baju bendera negara kita
sendiri?. Lagipun ini sajalah yang dapat saya buat sebagai tanda saya bangga
dengan hari merdeka negara kita.
“Tapi ramai juga yang nak bergambar dengan saya dan ada
yang bertanya di mana saya tempah baju. Bila macam ini seronok juga dan dari
situ saya dapat sampaikan mesej kemerdekaan,” katanya.
Dia yang bekerja di Pusat Khidmat Adun Ampangan berkata,
lima anaknya juga tidak pernah berasa malu dengan minatnya itu dan turut
memberikan sokongan.
Ketika ditanya pemberita tentang erti kemerdekaan buat
dirinya, Jamaluddin berkata, tiada lain melainkan keamanan dan kesejahteraan
yang dimiliki dapat dipertahankan selain
rakyat sentiasa bersatu hati tanpa mengira kaum.

Comments
Post a Comment