REMBAU – Orang Melayu diingatkan bahawa setiap undi yang
diberikan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti
secara tidak langsung bermakna mereka mengundi DAP.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
berkata, DAP akan menjadi parti paling berkuasa sekiranya pakatan pembangkang
membentuk kerajaan kerana bertanding lebih banyak kerusi berbanding parti lain
dalam pakatan berkenaan iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
“Jangan kita buat pilihan salah, kerana orang Melayu
hanya mempunyai dua pilihan pada PRU-14 akan datang, iaitu sama ada memilih
Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO atau pakatan pembangkang yang dikuasai
DAP.
“Tidak timbul soal nak bagi undi kasihan kepada parti
serpihan Melayu yang ada dalam Pakatan Harapan. Walaupun ia parti Melayu tidak
mungkin dapat berdiri sendiri. Kalau pembangkang menang, DAP akan mentadbir
kerajaan.
“Satu undi kita
beri kepada parti serpihan itu bermakna kita mengundi DAP. Adakah kita sanggup
mengundi parti yang berideologikan Malaysian Malaysia dan memperjuangkan hak
sama rata dan meritokrasi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata
demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan
Puteri UMNO Bahagian Rembau di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua UMNO bahagian, Khairy
Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, ahli UMNO perlu
mengubah pemikiran lama bahawa orang Melayu bergantung harapan kepada parti
tersebut kerana situasi pada hari ini sudah berubah.
Hakikatnya, ujar beliau, UMNO sebenarnya bergantung
kepada orang Melayu dan ini bermakna parti itu mesti memenangi hati masyarakat
tersebut dan perlu dilihat sentiasa membela kepentingan mereka. - Utusan Online
Comments
Post a Comment