REMBAU - Seorang wanita warga Singapura berusia 81 tahun
cedera apabila bas persiaran yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan
sebuah lori kontena di Kilometer 231.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di
sini awal pagi ini.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif
berkata, penumpang lain bas persiaran itu iaitu seramai 27 wanita dan dua
lelaki bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian
kira-kira pukul 3.20 pagi itu.
Jelas beliau, siasatan awal pihak polis mendapati
kemalangan itu berlaku apabila bas persiaran yang dalam perjalanan dari Ayer
Keroh, Melaka menuju ke Senawang dekat sini mengekori sebuah lori kontena
dengan rapat ketika sedang bergerak di lokasi kejadian.
“Bas itu dipercayai hilang kawalan apabila sampai di
tempat tersebut lalu melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan.
“Kejadian itu
menyebabkan kaki dan tangan kiri mangsa, Tan Ah Moi yang duduk di kerusi
penumpang hadapan bas itu cedera parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ibrahim berkata, siasatan lanjut masih dilakukan di bawah
Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment