400,000 dekoder percuma diedarkan

TAMPIN – Sehingga kini sebanyak 400,000 dekoder percuma yang ditawarkan kerajaan telah diedarkan kepada individu yang layak terutamanya penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata, dekoder percuma berkenaan kini diedarkan secara berperingkat-peringkat kepada individu yang layak sehingga April tahun hadapan.
“Kita sasar pada April tahun hadapan, industri penyiaran negara akan bertukar daripada analog ke sistem digital yang mampu menawarkan khidmat penyiaran televisyen dan radio lebih baik buat rakyat.
“Individu terutamanya penerima BRIM boleh menyemak kelayakan mereka melalui nombor kad pengenalan dan dekoder percuma ini akan diedarkan oleh MyTV,” katanya dalma satu Sidang Media sempena Majlis Pelancaran ‘Menghubung Menyatu’ di Padang Awam, Felda Bukit Jalor, di sini, hari ini.
Untuk rekod, sempena program berkenaan, sebanyak 15 penerima dari tiga buah perkampungan iaitu Kampung Felda Bukit Jalor, Kampung Air Kuning Selatan dan Kampung Punggur menerima televisyen dan saluran Astro Njoi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor; ADUN Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa dan ADUN Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said.

Comments