REMBAU - Pengguna jalan utama di Pedas Halal Park, dekat
sini terdedah kepada risiko kemalangan kerana laluan tersebut berlubang, retak
serta mendap.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan tersebut hari ini
mendapati laluan keluar dari kawasan perindustrian itu juga terpaksa
dilencongkan ke laluan masuk kerana kerosakan teruk pada laluan kiri jalan
utama.
Selain itu, pengguna bukan sahaja terdedah terhadap
risiko kemalangan malah terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk
menyelenggara dan memperbaiki kenderaan mereka.
Menurut pekerja teknikal Muslim Best Marketing (M) Sdn.
Bhd, Azrul Nizam Ahmad, 34, dia terpaksa memberi sepenuh perhatian setiap kali
melalui jalan utama selain mendakwa hampir terjatuh ketika melalui laluan
tersebut.
“Saya terpaksa lebih berhati-hati terutamanya ketika
hujan kerana jalan yang berlubang akan menyebabkan air bertakung dan mengundang
bahaya kepada penunggang motosikal seperti saya.
“Sepanjang sebulan
saya bekerja di kawasan ini, sudah beberapa kali saya hampir terjatuh dari
motosikal selain terpaksa mengeluarkan wang semata-mata mahu membaiki kerosakan
kecil akibat melalui jalan tersebut,” katanya ketika ditemui, di sini.
Tinjauan turut mendapati dakwaan tersebut berasas kerana
permukaan jalan di situ tidak rata dan berlubang.
Keadaan itu diburukkan lagi oleh kegiatan lori membawa
muatan pasir dari kawasan berhampiran yang menggunakan laluan tersebut.
Difahamkan, kerosakan permukaan laluan utama itu sudah
berlarutan beberapa bulan dan tiada sebarang kerja baik pulih dilaksanakan
pihak bertanggungjawab.
Selain itu, pemandu dilihat terpaksa memperlahankan
kenderaan bagi mengelak lubang di tengah-tengah jalan.
Bagi pekerja pentadbiran Muslim Best, Nur Ain Izzati
Mazlan, 26, dia yang bekerja di kawasan Pedas Halal Park sejak tiga tahun lalu
mendapati kerosakan jalan di kawasan itu adalah yang paling teruk pernah
berlaku.
“Bagi pihak Pedas Halal Park, Muslim Best telah
menghantar aduan kepada MIDF Property Berhad pada 17 Julai lalu mengenai
kerosakan jalan utama kawasan ini, namun tiada sebarang tindakan susulan
diambil dari pihak berkenaan.
“Justeru kami
berharap agar pihak yang bertanggungjawab segera membaik pulih jalan yang rosak
bagi mengelak sebarang perkaran tidak diingini berlaku,” katanya. - Utusan Online
Comments
Post a Comment