Kulinari: Anak muda harumkan nama negara

SEREMBAN – Sekumpulan anak muda Malaysia berjaya mengharumkan nama negara apabila membawa pulang pingat perak menerusi Pertandingan Thailand International Culinary Cup 2017, (TiCC) dalam acara mengukir buah-buahan dan sayur-sayuran, sempena Festival Food & Hotel Thailand di Bangkok, Thailand, Rabu lalu.


Peserta kumpulan yang terdiri daripada Muhammad Afiq Abdullah,30, Mohamad Hidir Musa,35, dan Ahmad Nurshafiq Amir Luddin,28, dinobatkan sebagai naib juara selepas ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran mereka yang bertemakan kehidupan di dalam paya hutan, berjaya mencuit hati juri.
Menurut Muhammad Afiq yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Penyediaan Makanan di Hospital Tuanku Najihah, Kuala Pilah di sini, pertandingan yang disertai itu amat sengit memandangkan  ramai tukang masak yang berpengalaman seperti dari Taiwan, Thailand, Vietnam dan Jepun, turut menyertai acara tersebut.
“Alhamdulillah, berkat kerja keras selama lebih empat tahun akhirnya membuahkan hasil dan kemenangan ini adalah pemangkin semangat untuk saya terus berjaya.
“Menempatkan diri dalam kelompok pertama terbaik adalah sesuatu yang sangat istimewa, apatah lagi dapat menewaskan peserta lain dari beberapa negara yang sememangnya hebat,” katanya.
Tambahnya, dalam pertandingan itu, dia menghasilkan ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bertemakan suasana serta kehidupan di dalam hutan.
Katanya, mereka menggunakan sayur-sayuran labu dan lobak yang digabungkan dengan tembikai serta tembikai susu untuk diukir menjadi ikan, bunga dan pepatung serta cengkerik, yang menyamai hidupan yang terdapat dalam paya hutan.
Festival Food & Hotel Thailand adalah pameran makanan, peralatan dan perkhidmatan dalam bidang makanan terbesar di Thailand yang diadakan setiap tahun dengan menghimpunkan semua pemain industri perkhidmatan makanan dari Thailand dan seluruh dunia.

Pertandingan berkenaan dianjurkan oleh Thailand Chefs Associaton yang menjadi acara tahunan di negara itu selain turut diadili oleh barisan juri dari persatuan World Association Chef Societies (WACS).

Comments