PORT DICKSON - Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Bomba
dan Penyelamat (JBP) untuk melaksanakan pemeriksaan keselamatan di semua
sekolah tahfiz dalam tempoh tiga bulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata,
sekiranya ada pusat tahfiz yang tidak menepati aspek keselamatan yang
ditetapkan terutama dalam spesifikasi bangunan seperti disyaratkan JBP, akan
diarahkan tutup serta merta.
"Spesifikasi oleh bomba mestilah dipatuhi oleh pusat
tahfiz dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dari segi keselamatan dan
jika terdapat bangunan yang tidak dipatuhi, kita akan tutup dan jika berdegil
kita akan heret ke mahkamah.
"Hal ini ditegaskan oleh saya kerana ini berkenaan
nyawa anak-anak yang tidak berdosa dan kita akan mula memeriksa dalam tempoh
tiga bulan semua pusat-pusat tahfiz bagi mengelakkan berlaku kemalangan
jiwa," katanya kepada pemberita di Program Kembara Jelajah Anti Rasuah
2017 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk
Seri Mat Ali Hassan.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Pengerusi
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, kerajaan menyasarkan
kesemua 16 buah sekolah agama bantuan kerajaan akan menawarkan subjek hafazan
sebagai mata pelajaran wajib menjelang tahun 2025.
"Buat masa ini hanya tiga sekolah agama bantuan
kerajaan yang ada aliran tahfiz.
"Saya menyeru supaya mata pelajaran hafazan tidak
diabaikan kerana ini demi masa depan anak-anak kita. Dengan dasar yang kita
bincangkan, ia dapat memberi peluang kepada pelajar yang berminat belajar
tahfiz untuk mengikutinya di sekolah agama bantuan kerajaan," katanya.-
Bernama
Comments
Post a Comment