Pemuda OKU tawan Gunung Angsi

KUALA PILAH – Tiada siapa sangka dengan hanya menggunakan kekuatan tangan sahaja, seorang pemuda mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menawan puncak Gunung Angsi secara merangkak pada ketinggian 2,702 kaki dari aras laut atau 825 meter.
Adam Azrulkhan Hasrullah, 25, disahkan menghidap sakit polio sejak kecil sehingga menyebabkan kedua-dua kakinya cacat.

Anak muda ini yang lebih mesra dengan panggilan Adam, mencabar kemampuan diri bagi memenuhi minatnya mendaki bukit mahupun gunung.
Kata Adam, dirinya yang tidak seperti insan normal, perlu memulakan sesi pendakian pada jam 3.30 pagi dan tiba kira-kira 12.30 tengah hari.
Menurutnya, aktiviti pendakian itu dianjurkan bersama ahli Persatuan Anak Gunung Malaysia dan dibantu oleh pegawai dari Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) sempena memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan negara.
“Saya mula berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian semasa menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa.
“Keinginan mula memuncak, apabila melihat kenalan serta rakan Facebook  memaparkan gambar menarik di puncak bukit serta gunung.
 “Mula 2014, saya minat aktiviti pendakian dan nekad hantar pesanan kepada seorang kenalan Facebook yang tidak dikenali.
“Saya mesej dia hampir setiap hari bagi memintanya untuk bawa saya daki bukit dan gunung. Namun jawapannya mendukacitakan apabila dia menolak atas faktor diri saya seperti ini (orang kurang upaya),” katanya kepada Sinar Harian.
Biarpun kecewa, namun katanya, seorang rakan universiti telah bersetuju membawanya mendaki Bukit Broga.
 “Pertama kali mendaki, saya sangat teruja. Sehinggalah pada Oktober 2016 lalu, saya berjaya tawan puncak Gunung Kinabalu.
“Walaupun misi itu gagal pada percubaan pertama pada Januari 2016 tahun lalu, tetapi saya tekad untuk tiba puncak Gunung Kinabalu dan alhamdulillah, saya berjaya.
“Rentetan kejayaan itu, saya tanam azam untuk sampai ke Base Camp Everest pada Mac 2018. Kini saya berada dalam siri latihan pendakian di beberapa gunung bagi memastikan saya mampu mencapai impian itu,” katanya.
Kata anak kelahiran Kuching Sarawak ini, berkat keazaman dan memiliki keistimewaan, dia dipilih sebagai ikon oleh Persatuan Anak Gunung Malaysia.
“Sebagai individu istimewa, saya berjaya mencabar kemampuan diri untuk tawan puncak bukit dan gunung.
“Malah, semangat ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada individu lain, untuk sama-sama amalkan cara hidup sihat melalui aktiviti pendakian.
“Walaupun memiliki kecacatan fizikal sekalipun, ia tidak jadi penghalang untuk mengapai impian mahupun cita-cita,” katanya.
Dalam pada itu, kata Adam, selepas berjaya mendaki Gunung Angsi, latihan seterusnya akan dijalankan sekali lagi di Gunung Kinabalu sebagai persiapan bagi mencapai sasaran pendakian ke Base Camp Everest pada Mac 2018.

Adam menjalani Pendakian Gunung Angsi bersama Pendaki Istimewa di Tapak Kaki Gunung Angsi menerusi Program Merdeka De Angsi yang mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan dan JPNS.

Comments