Kilang guna pam air secara haram diserbu

SEREMBAN – Sebuah kilang memproses produk kesihatan yang disyaki menjalankan kegiatan pengepaman air secara haram menggunakan pam penggalak (booster pump) diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) di Taman Perindustrian Senawang, dekat sini.
Pengarahnya, Wan Rasdi Wan Ismail berkata, operasi itu merupakan kes pertama di negeri ini yang diadakan hasil maklumat dari pengusaha kilang berdekatan dan risikan pihaknya.
Katanya, serbuan terhadap kilang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Pihak kami mengesyaki kilang ini telah lama menjalankan aktiviti berkenaan dalam masa berpanjangan kerana kami tidak pernah terima aduan daripada kilang itu mengenai tekanan air jadi kita syak mereka menggunakan kaedah itu.
“Masalah ketidaktentuan tekanan air ini memang pihak kami selalu menerima aduan, selain kita selalu menghadapi keadaan paip pecah di kawasan ini,” kata­nya ketika ditemui semasa membuat serbuan di lokasi itu.
Wan Rasdi berkata, kaedah pam penggalak ini adalah salah satu langkah bagi membantu pengilang untuk mendapat bekalan air yang secukupnya untuk kegunaan mereka dan tidak perlu membina tangki sedutan atau tangki simpanan.
“Ini hanya menguntungkan sebelah pihak iaitu kilang dan memberi ancaman kepada pihak Sains dari segi sistem bekalan air,” katanya.
Tambahnya, pihak SPAN sedang menjalankan penyiasatan dan akan mengambil maklumat lengkap sebelum mereka mengeluarkan kompaun yang sewajar­nya kepada syarikat terbabit.
“Jika didapati bersalah kes akan disiasat mengikut Seksyen 45 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000,” katanya. - Utusan Online



Comments