Pemuda MCA seru orang muda ceburi pertanian

SEREMBAN  - Pemuda MCA hari ini menyeru anak muda agar menceburi bidang pertanian yang mampu memberi pulangan lumayan selain membantu meningkatkan pengeluaran makanan negara.
Ketuanya, Datuk Chong Sin Woon berkata, sayap itu menerusi Koperasi Petani Muda Malaysia (KPMM) sedia membantu dari segi memberi bimbingan kepada golongan muda yang berminat menyertai bidang itu.
"KPMM bersiap sedia untuk memberikan panduan bagaimana untuk bermula, apakah jenis tanaman yang sesuai dan di mana pasarannya.
"Ini juga antara cara untuk bantu pelbagaikan pendapatan orang-orang muda atau orang kampung yang sebenarnya boleh menggunakan tanah-tanah yang tidak digunakan melalui panduan-panduan daripada KPMM ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Urban Farm Afritech di sini, hari ini.
Selain itu katanya, terdapat pelbagai teknologi dan kaedah pertanian terkini seperti hidroponik yang boleh dimanfaatkan oleh petani muda.
"Pertanian sekarang tidak semestinya hendak melihat jenis tanah sebab dengan tanaman hidroponik kita menggunakan air sahaja," katanya.
Beliau memberi contoh kaedah kitaran air yang menggunakan air dari tangki ternakan ikan untuk tujuan penanaman sayur-sayuran.

Pada masa sama beliau berkata petani muda juga harus memanfaatkan kursus-kursus yang ditawarkan agensi kerajaan dan swasta untuk meningkatkan ilmu pertanian mereka berbanding sekadar belajar daripada kesilapan. - BERNAMA 

Comments