Rakyat terus dibantu

PORT DICKSON - Semua penerima bantuan Jom Bantu Rakyat telah melalui tapisan bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menikmati bantuan tersebut.
Adun Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar berkata, Jom Bantu Rakyat adalah program untuk membantu rakyat yang dalam keadaan susah dan memerlukan secara one off.
Menurutnya, kebanyakan penerima adalah mereka yang tidak layak memperoleh bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana beberapa sebab antaranya mempunyai pencen bulanan, tidak mempunyai tanggungan dan sebagainya.
“Mereka mempunyai pendapatan tetapi tidak berkemampuan untuk membelanjakan wang mereka dalam jumlah yang besar bagi membeli alat bantuan kesihatan seperti alat pendengaran, kerusi roda atau katil mudah laras.
“Jadi kerajaan bantu mereka untuk mendapatkan barang keperluan itu,” katanya.
Tun Hairudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan berkata, penerima bantuan Jom Bantu Rakyat telah disiasat oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi memastikan kelayakan mereka.
Sementara itu, salah seorang daripada 24 penerima bantuan Jom Bantu Rakyat di Kampung Telok Kemang, Norhayati Kantan, 70, berkata, dia bersyukur menerima bantuan katil mudah laras yang akan memudahkannya bergerak tanpa bantuan anaknya.

Norhayati merupakan penghidap kencing manis dan darah tinggi serta mempunyai masalah saraf pada kedua belah kakinya. – SH Online

Comments