Rasuah: Bekas penolong pegawai tadbir direman lima hari

TELOK KEMANG - Seorang bekas penolong pegawai tadbir Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) di sini ditahan reman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah wang tunai RM800.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Siti Khairiah Abd. Razak di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Wanita berusia 32 tahun itu tiba di mahkamah pada pukul 9.30 pagi dengan diiringi beberapa pegawai SPRM.
Suspek itu ditahan oleh SPRM pada pukul 3.35 petang semalam di pejabat SPRM Port Dickson.
Tangkapan itu dilakukan selepas pihak SPRM menerima laporan bahawa dia dipercayai menerima suapan wang tunai RM800 daripada seorang pengarah syarikat pelancongan.
Sogokan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk memperakukan baucer bayaran bagi program pemantapan organisasi APBM 2016.
Bayaran berkenaan dikatakan dimasukkan ke dalam akaun bank milik suspek.

Kes disiasat mengikut  Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - UTUSAN ONLINE

Comments