1,568 graduan UiTM Negeri Sembilan terima ijazah, diploma

REMBAU - Buat julung kalinya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) peringkat cawangan Negeri Sembilan menganjurkan Konvokesyen ke-87 universiti itu di Kampus Rembau dekat sini hari ini.

Seramai 1,568 graduan dari tiga kampus universiti itu di negeri iaitu Kuala Pilah, Seremban dan Rembau menerima ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing dalam konvokesyen itu yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini.
Kesemua graduan yang terlibat adalah dari empat fakulti iaitu Sains Gunaan, Sains Komputer dan Matematik, Sains Sukan dan Rekreasi dan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.
Bagi meraikan kecemerlangan akademik, pengiktirafan diberikan kepada graduan dalam Anugerah Graduan Terbaik (AGT) untuk kategori Kepimpinan, Ijazah, Diploma dan Keseluruhan.
Majlis perasmian konvokesyen itu telah disempurnakan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub.
Rektor UiTM Negeri Sembilan, Prof. Dr. Nasrudin Mohammed berkata, penganjuran konvokesyen itu adalah satu bentuk kepercayaan daripada pengurusan tertinggi UiTM kepada seluruh warga kerja UiTM Negeri Sembilan yang yakin kepada kemampuan mereka.
“Kepercayaan ini disambut sebagai cabaran untuk ditangani bersama demi tanggungjawab agar hari paling bersejarah dalam diri seseorang yang bergelar graduan itu kami berikan yang terbaik,” katanya.

Sempena istiadat konvokesyen itu, pelbagai aktiviti keusahawanan disediakan seperti food truck, gerai jualan makanan, cenderahati serta perkhidmatan fotografi sebagai kemudahan kepada para pengunjung meraikan mereka yang bergraduasi. - UTUSAN ONLINE

Comments