JEMPOL - Seorang penternak haiwan berputih mata selepas
240 ekor kambing biri-biri dan lima ekor kerbau miliknya hilang dipercayai
akibat dicuri di Ladang Sungai Sebaling, Bahau dekat sini hari ini.
Menurut mangsa, A. Mairada, 36, dia menyedari kehilangan
haiwan ternakan tersebut semasa pergi ke dua buah kandang di ladang itu pada
pukul 2.40 petang.
"Ketika itu saya lihat pintu pagar kandang kambing
dan sebuah lagi kandang menempatkan kerbau telah dipecahkan. Setelah diperiksa
sebanyak 240 ekor kambing dan lima ekor kerbau telah hilang.
"Terdapat kesan tayar lori berhampiran kandang dan
saya membuat laporan di Balai Polis Ladang Geddes selepas menyedari ternakan
dicuri," katanya di sini.
Mairada berkata, sebelum kejadian dia ternampak tiga buah
lori masuk ke Ladang Sungai Sebaling tetapi menyangka mereka mahu menghantar
benih pokok kelapa sawit ke kawasan berhampiran.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd.
Nur Hishamuddin Hashim berkata, kandang kambing dan kerbau tersebut terletak
kira-kira 100 meter antara satu sama lain.
Katanya, pemeriksaan turut menemukan alat suntikan yang dipercayai
digunakan untuk menyuntik bahan pelali terhadap haiwan tersebut.
Ujarnya, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai
maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Balai Polis Ladang Geddes di
talian 06-4611222 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Jempol (06-4583449). -
UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment